Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik pergigian secara haram, tahun lalu. Tertuduh, Nur Hafizah Harun, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang bukan pengamal pergigian berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804) didakwa menjalankan amalan pergigian. Dengan itu tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 62(1) Akta 804 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, wanita ini didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan jam 8.50 malam di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, di sini, 6 Disember 2024.
Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Musfirah Musa menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua syarat tambahan. Peguam A Partheeban memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan rendah kerana tertuduh akan dijamin abangnya yang bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Tertuduh juga seorang penganggur dan tidak mempunyai sebarang pendapatan selain pihaknya bersetuju dengan syarat tambahan yang diutarakan pendakwaan. Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat perlu melaporkan diri di balai polis serta dilarang mengganggu saksi.Sebutan semula kes ditetapkan 12 Jun.
Sumber: Berita Harian