Kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar yang dimulakan di kawasan majoriti Melayu demi menyelesaikan masalah umum. Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, aduan berhubung anjing liar bukan sedikit dan boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri jika isu itu tidak ditangani.
Menurutnya, kerajaan negeri terbuka menerima sebarang teguran dan bantahan namun berharap masalah itu dilihat secara menyeluruh dengan mengutamakan keselamatan awam. Ada proses yang perlu dilakukan, bukan lupus secara sembarangan. Ada Akta Haiwan yang harus dihormati. Perlaksanaanya akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikannya mengikut peraturan yang ditetapkan.
Cadangan Aminuddin sebelum ini agar dilaksanakan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang bersidang minggu lalu. Bagaimanapun, cadangan itu menerima kecaman daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta haiwan, antaranya Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan yang menyifatkan kenyataan Aminuddin sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.
Pengerusinya, Datuk Seri S. Surash menggesa kerajaan negeri menghentikan segera rancangan pelupusan itu, sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) yang telah terbukti berkesan dan beretika.
Menurut Aminuddin, kes serangan anjing liar agak membimbangkan termasuk kes terbaharu yang berlaku pada Rabu membabitkan seorang remaja digigit haiwan berkenaan di Port Dickson. Isu pada masa ini ialah anjing liar terlalu banyak berkeliaran. Ini hanya berlaku dalam negara; kalau lihat di bandar-bandar utama seperti Jepun dan China, tidak nampak anjing liar berkeliaran.
Beliau berharap mendapat kerjasama daripada semua. Mereka yang memelihara, uruskan dengan betul. Jangan masa sayang dibawa peluk tidur, tapi bila dah tak suka dibuang, kemudian biar kita pula ambil tanggungjawab tersebut kerana akhirnya akan memberi kesan kepada masyarakat sehingga berlaku kemalangan akibat dikejar anjing liar.
Isu tersebut kini turut merebak ke kawasan kampung hingga penduduk risau untuk membela ayam dan itik kerana bimbang diserang anjing liar. Menurutnya lagi, dalam soal ini kita perlu saling hormat-menghormati barulah hidup harmoni. Nak bela anjing boleh tapi jaga elok-elok, jangan soal lupus diserahkan pada kerajaan.
Bila isu orang kena gigit anjing, di mana NGO, pencinta haiwan? Banyak kes berlaku tapi saya tengok tak ada pun mereka datang tengok. Kita kena adil, banyak aduan diterima yang perlu diambil tindakan.
Pada masa sama, katanya, NGO dan pencinta haiwan juga perlu memainkan peranan dalam program TNR dengan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan jika merasakan kaedah itu berkesan menangani pembiakan haiwan liar tersebut.
Sumber: Sinar Harian