Seorang anggota polis wanita direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,000 sebagai balasan mengurangkan hukuman denda berkaitan kes yang disiasatnya.
Perintah reman terhadap suspek berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Sivil, di sini, pada Rabu.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa ketika berada di pejabatnya. Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 20 Mac lalu.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber: Sinar Harian