POLIS NEGERI SEMBILAN BONGKAR MAKMAL DADAH, RAMPASAN HAMPIR RM40 JUTA

Polis Kontinjen Negeri Sembilan membongkar makmal haram pemprosesan dadah di daerah ini dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai hampir RM40 juta, Khamis lalu. Difahamkan, serbuan di kawasan perindustrian dengan rampasan 63 pelbagai mesin itu adalah yang terbesar pernah dicatat dalam tempoh lima tahun di Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, polis turut memeriksa tiga inap desa yang disewa dan dijadikan stor dadah oleh sindiket. Lokasi pertama di kawasan industri ringan Jalan Tun Dr Ismail di sini, membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun yang menjadi penjaga dan ahli sindiket. Serbuan di lokasi pertama membawa kepada penemuan pil ketamin seberat 335.65 gram, 2,058 gram serbuk disyaki heroin base, 63 pelbagai mesin pemprosesan dadah dan 14 balang kaca.

Turut ditemui serbuk dan cecair bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah dalam tong, kotak kayu, paket plastik dan guni manakala nilai rampasan di lokasi pertama adalah RM239,130.

Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Sri Rahang, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 12,044 gram, 80,201 gram serbuk ekstasi dan pil ekstasi seberat 125,258 gram. Turut ditemui dadah disyaki eramin 5 anggaran berat 39,242 gram dan 15,000 gram dadah dipercayai ganja. Nilai rampasan di lokasi kedua dianggarkan RM38.7 juta.

Serbuan di lokasi ketiga dan keempat masing-masing di inap desa di Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya merampas pelbagai peralatan seperti mesin pencetak pil, serbuk putih dan pewarna bahan kimia. Keseluruhan rampasan membabitkan 274.14 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM38.9 juta. Sindiket dipercayai menjadikan kilang sebagai tempat memproses manakala inap desa sebagai stor dadah sebelum diedar ke pasaran sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana serbuan kali ini menyita sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM253,413 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM39 juta. Suspek direman tujuh hari sehingga 20 Mac bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala ahli sindiket lain masih diburu.

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut