BANTUAN: Pasukan bomba membantu mangsa banjir di Beaufort untuk dipindahkan ke PPS. Gambar ihsan PGO JBPM Negeri Sabah
KOTA KINABALU: Pertambahan jumlah mangsa banjir di negeri ini menjadikan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 24 pusat yang dibuka setakat jam 4 petang hari ini.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 4,159 orang yang dipindahkan ke PPS membabitkan sebanyak 1,362 keluarga.
Penduduk yang terjejas banjir melibatkan daerah yang diisytiharkan bencana iaitu Beaufort, Membakut, Keningau, dan Tenom serta Sook.
Di Beaufort, sebanyak lima PPS dibuka bagi menempatkan seramai 1,339 mangsa banjir daripada 432 keluarga termasuk di PPS Dewan Selagon, Dewan DSP Dun Banir, Dewan Bisaya, Dewan Kukut, dan Dewan Residensi Prima.
Daerah Membakut terus merekodkan peningkatan iaitu seramai 880 mangsa daripada 295 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kesenian Islam Membakut dan Dewan Sri Bongawan.
Jumlah mangsa banjir di Sook merekodkan penurunan iaitu seramai 1,031 mangsa daripada 200 keluarga dipindahkan di PPS Dewan Membulu, Dewan Kampung Ansip Tengah dan Dewan SK Pekan II Sook.
SAHUR: Penduduk yang ditempatkan di PPS turut disediakan bantuan makanan. Gambar ihsan APM Negeri Sabah
Sementara itu, seramai 1,162 mangsa banjir daripada 435 keluarga terjejas di Tenom dipindahkan di 14 PPS antaranya Dewan Batu-Batu, Dewan SK Mandalam Lama, Dewan Sri Antanom, Dewan Jinuin Jimin, Dewan Kampung Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Poguokon Laut, Dewan Pantungon Saga, dan Dewan SK Saga.
Dalam pada itu, dua PPS di Keningau yang menempatkan seramai 137 mangsa di Dewan Masyarakat Daerah Keningau dan Dewan Datuk Angian Andulang Apin-Apin ditutup pada jam 3 petang tadi.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima daerah berkenaan, seramai 2,012 adalah lelaki dewasa dan kanak-kanak manakala seramai 2,147 mangsa adalah perempuan dewasa dan kanak-kanak.
Jumlah keseluruhan kampung yang terjejas banjir adalah sebanyak 43 kampung termasuk 10 kampung masing-masing di Beaufort dan Membakut, dua kampung di Keningau, lima kampung di Sook dan 16 kampung di Tenom.
PELAJAR: Pasukan APM Beaufort mengambil pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM di Beaufort untuk dihantar ke SMK Gadong,Β Beaufort.Β Gambar ihsan APM Negeri Sabah
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Β
Sumber: Utusan Borneo Online