RAMPAS: Suspek dan rokok seludup yang dirampas di bawa ke IPD Beluran untuk tindakan lanjut.
BELURAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM5.5 juta di sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Kampung Botition, di sini, semalam.
Rampasan yang dijalankan Unit Gempur PPM Wilayah Empat Sabah menemukan 26 jenis rokok yang disembunyikan di dalam sebuah rumah tidak bernombor.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai di dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki dewasa warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan rokok seludup dianggarkan bernilai RM5,568,000.
“Semua barangan rampasan kemudiannya dibawa Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan rokok daripada berleluasa,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online