Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menanggalkan enam pintu rumah penyewa di Rumah Pangsa Kos Rendah (PPRT) Lobak di sini selepas gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga ada yang mencecah RM34,000.
Menurut Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, operasi pada 27 Februari lalu itu melibatkan Ahli Majlis MBS, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBS dan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS. Operasi ini turut dibantu oleh anggota polis dari Balai Polis Jalan Campbell dan ia dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan.
MBS sentiasa memberi peluang dan membantu penyewa dengan menyediakan pelbagai kaedah supaya penyewa dapat menjelaskan tunggakan sewa dengan kadar sewa RM150 sebulan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun masih terdapat ramai penyewa mengambil sikap sambil lewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.
Operasi kali ini tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000 hingga RM34,000. Notis penamatan perjanjian penyewa terlibat telah tamat pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari. Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
Bagaimanapun penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain. MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa. Penyewa di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan PPRT Lobak juga diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian