BOM: Bom lama yang ditemukan di tapak pembinaan berdekatan sebuah kilang di Kinarut.
PAPAR: Sekumpulan pekerja binaan menemukan sebutir bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan berdekatan Kilang Lok Kawi Plastic Industries, Kinarut di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) yang disyaki masih aktif itu ditemukan pekerja terbabit kira-kira 1.30 tengah hari Selasa sebelum membuat laporan segera di Balai Polis Kinarut.
Katanya, bom berkenaan ditemukan ketika pekerja binaan melakukan kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut.
“Ketika itu, pekerja ternampak satu objek besar yang masih belum dipastikan. Pekerja itu kemudian mengorek secara perlahan sehingga berjaya mengeluarkan objek tadi dari dalam tanah.
“Pekerja terbabit kemudiannya mendapati objek itu adalah bom lama lama yang tertimbus lalu datang ke Balai Polis Kinarut untuk membuat laporan mengenai penemuan bahan letupan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Kamaruddin berkata, bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi bersama dengan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Pemeriksaan lanjut oleh UPB mendapati bom terbabit masih aktif dan dipercayai peninggalan zaman perang dunia kedua.
“Beberapa jalan raya akan ditutup bagi mengelak pengguna jalan raya melalui kawasan itu untuk tujuan membuat persediaan meletupkan bom berkenaan di kawasan tempat kejadian pada 8 jam pagi Rabu,” katanya.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kereta Api Negeri Sabah juga sudah dimaklumkan supaya menghentikan operasi sementara pada waktu letupan dijalankan dan hebahan kepada penduduk setempat juga dilaksanakan.
“Beberapa agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan, Sabah Electricity dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut sama memberikan kerjasama dan nasihat sebelum letupan dilaksanakan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan penemuan bom itu bagi mengelak sebarang kemungkinan.
“Sampaikan sebarang maklumat kepada polis dengan kadar segera di talian 088-912222 dan balai polis berhampiran sekiranya ternampak atau terjumpa apa-apa objek mencurigakan kerana ia boleh mendatangkan risiko bahaya atau kemudaratan kepada masyarakat setempat,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online