DIDENDA RM10,000 SIMPAN BARANG KAWALAN DI PREMIS TIDAK DIBENARKAN

 

Syarikat peruncitan dan pengarahnya masing- masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyimpan pelbagai barang kawalan di premis yang tidak dibenarkan, tahun lalu.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membuat keputusan itu selepas pengarah KM Bersatu Resources Sdn Bhd, Norfamieza Nordin, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh dan syarikatnya telah didapati menyimpan 336 kilogram (kg) gula, 1,886 kg minyak masak paket, 118 kg minyak masak botol dan 140 kg tepung gandum di premis yang tidak dibenarkan oleh pengawal bekalan untuk penyimpanan itu.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 14 Julai 2024, kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah premis tanpa nama di Jalan Senawang Perdana 2, Taman Senawang Perdana di sini. Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) dan Seksyen 22(1) akta yang sama.

Bagi pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan ini jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

Bagi individu, boleh dihukum denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Peguam, Kartikeyan Supramaniam merayu anak guamnya dikenakan denda paling minimum dengan mengambil kira pendapatannya dan jumlah tanggungan. Menurutnya, tertuduh mengambil alih syarikat berkenaan daripada bapa dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan ini. Dia sedang membuat permohonan untuk premis stor simpanan berkenaan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Janawatulfieza Hamisan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut