Pada 7 Februari dalam tahun 2013, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan. Penahanan ini merupakan penahanan pertama yang dilakukan di bawah akta ini yang berkuat kuasa pada 31 Julai 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September 2011. Pengumuman tangkapan ini dibuat oleh YB Datuk Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dalam satu sidang media di Kuala Lumpur. Semua suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan dua orang lelaki berusia 20 hingga 50 tahun itu ditangkap dalam serbuan yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor. Salah seorang daripada suspek adalah bekas tahanan ISA. Dua orang suspek lelaki ditahan di kafe Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala suspek perempuan ditahan di rumah sewanya di Taman Sutera, Kajang, Selangor.
Sumber: Arkib Negara Malaysia