Penggunaan ‘dummy buckle’ atau alat penyah aktif penggera tali pinggang keledar dilihat menjadi trend yang agak membimbangkan.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, daripada 195 notis kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar yang dikeluarkan pihaknya sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina, 30 peratus daripadanya didapati menggunakan aksesori terbabit.
Boleh di katakan 30 peratus daripada yang kita tahan didapati menggunakan aksesori itu. Maknanya ia dipakai secara terbuka dan meluas. Ini kerana, alatan tersebut mudah didapati sama ada dibeli dalam talian, kedai aksesori kenderaan atau kedai serbaneka yang dijual pada harga bawah RM20.
Pihaknya memandang serius perkara itu lebih-lebih lagi kebanyakan model kenderaan baharu sekarang dilengkapi dengan alat penggera yang akan berbunyi sekiranya pemandu dan penumpang tidak memakai tapi pinggang keledar. Disebabkan itu, segelintir pemandu akan menggunakan aksesori terbabit bagi menghentikan bunyi penggera berkenaan. Ia satu perkara yang tidak bertanggungjawab pada diri sendiri dan juga kepada penumpang. Mereka yang melakukan kesalahan ini telah dikenakan kompaun RM300.
Pemakaian tali pinggang keledar bukan saja satu keperluan penting tetapi adalah peraturan yang telah ditetapkan undang-undang. Ia untuk keselamatan ketika menaiki kenderaan yang juga dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku kemalangan.
Sementara itu katanya, sepanjang Ops Khas TBC, daripada 12,138 kenderaan diperiksa, 2,508 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Ia membabitkan 6,630 kesalahan yang mana kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan paling tinggi iaitu 2,027 notis, diikuti teknikal (1,880 notis) dan pelesenan pemandu (1,419 notis).
Daripada jumlah itu, sebanyak 424 notis dikeluarkan bagi kesalahan utama dan kesalahan tali pinggang keledar paling tinggi direkodkan iaitu (195 notis), diikuti tidak patuhi lampu isyarat (113 notis) dan menggunakan telefon bimbit (57 notis).
Dalam pada itu, pihaknya mendapati masih ada lagi pemandu kenderaan berat dan perkhidmatan awam yang menggunakan lorong kanan secara berterusan ketika di lebuh raya. Dalam operasi penyamaran sebagai penumpang bas, sebanyak 131 saman dikeluarkan yang mana 31 daripadanya adalah memandu di lorong kanan secara berterusan.
Sepanjang Ops Khas TBC juga, dua daripada 341 pemandu bas yang dikehendaki membuat saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Sumber: Sinar Harian