ERA KEPUASAN SEGERA: SERAMPANG DUA MATA

Gesaan dan desakan kepada kepuasan segera (instant gratification) kini dilihat semakin meruncing. Malahan akhbar Sinar Harian pada 3 Februari 2025 menerbitkan artikel bertajuk Kecanduan Pada Ketergesaan.

Konsep kepuasan segera merujuk kepada keinginan untuk merasai kepuasan tanpa lengah. Ini merupakan suatu pemenuhan keperluan dan keinginan seseorang yang didorong oleh kemajuan teknologi pada zaman digital.

Kebangkitan Kepuasan Segera

Teknologi moden telah membolehkan seseorang individu mengakses maklumat, berkomunikasi dan berhibur. Hanya melalui beberapa sentuhan di telefon pintar, kita boleh memesan makanan, membeli belah, menonton filem atau mengadu perasaan kepada umum dengan segera melalui pelbagai applikasi yang tersedia. Kelajuan dan kemudahan perkhidmatan ini direka untuk memastikan kita akan sentiasa merasa terikat dan menjadikan seseorang itu semakin sukar untuk menahan godaan untuk ganjaran segera.

Kelebihan Kepuasan Segera

  1. Kecekapan dan Kemudahan: Keupayaan untuk mengakses perkhidmatan dan maklumat dengan serta-merta telah memperbaiki pelbagai aspek kehidupan kita. Urusan yang dahulunya memakan masa berjam-jam atau berhari-hari kini boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa minit. Malahan, memberi ruang kepada kita untuk melaksanakan aktiviti lain.
  2. Motivasi dan Penglibatan: Ganjaran segera boleh berfungsi sebagai motivator yang kuat. Antisipasi ganjaran segera akan mendorong kita untuk menyelesaikan tugas dan mencapai matlamat yang pada awalnya kelihatan sukar.
  3. Kebolehcapaian: Teknologi telah menjadikan banyak perkhidmatan dan sumber lebih mudah diakses berbanding sebelum ini. Dari pendidikan hingga ke perubatan atas talian, kepuasan segera telah membuka peluang baharu untuk manusia di seluruh dunia.

Keburukan Kepuasan Segera

  1. Tidak Sabar dan Kurang Tumpuan: Ketersediaan ganjaran segera secara berterusan boleh menyebabkan kecanduan yang akan mengurangkan toleransi. Ketidaksabaran ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk sama ada dari perasaan amarah di jalan raya hingga ke kekecewaan terhadap kelajuan internet yang perlahan. Selain itu, keupayaan kita untuk fokus dan menumpukan perhatian untuk tempoh jangka masa yang panjang akan terjejas kerana telah terbiasa dengan interaksi yang cepat dan singkat.
  2. Impulsif dan Keputusan Buruk: Godaan untuk terus merasai kepuasan segera kadangkala boleh menyebabkan keputusan impulsif yang hanya mengutamakan kesan jangka pendek berbanding faedah jangka panjang. Ini boleh mengakibatkan tabiat yang merosakkan kesihatan, hubungan dan kestabilan kewangan kita.
  3. Pergantungan Emosi: Kebergantungan terhadap kepuasan segera boleh mencipta persekitaran yang menyebabkan kita cenderung untuk mencari penyelesaian segera untuk mengatasi tekanan atau emosi negatif. Ini boleh menghalang kita untuk lebih berdaya tahan menghadapi cabaran kehidupan.

Kesejahteraan Hidup

Walaupun kepuasan segera menawarkan banyak manfaat, penting untuk kita menyeimbangkannya. Memupuk kesedaran dan mengawal diri boleh membantu kita mengatasi godaan terhadap kepuasan segera tanpa mengorbankan kesejahteraan hidup. Ibarat nukilan ahli sains terkenal Albert Einstein: “The only reason for time is so that everything doesn’t happen at once.”

Disediakan oleh:

Bakhtiar Effendy Khalid

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …