BEKAS KERANI DIDAKWA SALAH GUNA JAWATAN DAPAT PROJEK UNTUK SYARIKAT SENDIRI

Seorang bekas kerani FGV Palm Industries Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas sembilan pertuduhan menyalah guna jawatan untuk mendapatkan suapan pelbagai jenis projek bagi syarikat perniagaan miliknya dengan nilai keseluruhan RM85,550 pada 2020 hingga 2021.Tertuduh, Arwan Asrol Mohamad, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad  Tarmizi selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Mengikut sembilan pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu pembantu eksekutif (admin) yang menjalankan tugas kerani selenggara di FGV Palm Industries Sdn Bhd telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri dengan cara menyebabkan perniagaan miliknya iaitu Sinar Mz Enterprise dipelawa sehingga dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja.

Ia bagi menyediakan tenaga kerja, bahan, peralatan, pengangkutan, insurans dan lain-lain keperluan antaranya bagi kerja-kerja pembaikan rumah, pembersihan kawasan scrubber dan shredded, ganti dan pasang longkang serta pembersihan dan pencucian bangunan di Kilang Sawit Serting Hilir dan Loji Biogas Serting Hilir bagi FGV Palm Industries Sdn Bhd.

Kerja-kerja berkenaan membabitkan nilai antara RM6,500 hingga RM10,000 yang mana ia berhubung dengan penyediaan dokumen-dokumen bagi pemprosesan tender yang mempunyai kepentingan dengan dirinya. Kesemua kesalahan terbabit dilakukan di FGV Palm Industries Sdn Bhd, Kilang Sawit Serting Hilir, Bandar Seri Jempol di Jempol pada 1 Mac 2020 hingga 11 Januari 2021.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM40,000 dengan syarat tambahan. Peguam, M Gobi yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya telah berhenti kerja dari syarikat FGV Palm Industries Sdn Bhd sejak 2023.

Tertuduh yang menghidap strok kini melakukan kerja kampung dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari depan bagi serahan dokumen.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PPM RAMPAS MINUMAN KERAS SELUDUP BERNILAI LEBIH RM66,000

SELUDUP: Suspek dan semua minuman keras tidak bercukai berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. BELURAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas …
Maklumat Lanjut

PENGUSAHA PERTANIAN DI TANAH KERAJAAN PERLU MOHON LPS

Mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian di Negeri Sembilan diminta membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah …
Maklumat Lanjut

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut