Tindakan sekumpulan mat rempit membuat aksi berbahaya dan mengganggu ketenteraman penduduk dengan bunyi ekzos motosikal yang bising mendapat balasan apabila mereka diserbu pihak berkuasa.
Akibatnya, tiga mat rempit ditahan dan lebih 100 saman dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban dalam Ops Samseng Jalanan yang dilakukan di kawasan bangunan terbiar di Bandar Seremban Selatan di sini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, serbuan itu dilakukan susulan aduan penduduk yang terganggu dengan aktiviti berkenaan.
Pihaknya menerima aduan berkenaan aktiviti mat rempit ini dari tahun 2023 lagi dan sehingga kini sudah lapan kali operasi dilakukan. Penunggang motosikal sering berkumpul dan membuat bising pada petang Ahad dan mengganggu ketenteraman penduduk sekitar yang turut risau berlaku kemalangan.
Hasil risikan dan intipan yang dilakukan di lokasi mendapati, terdapat kumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu dengan mengeluarkan bunyi ekzos yang bising sehingga mengganggu ketenteraman penduduk. Sebanyak 95 motosikal dan 100 individu diperiksa dan sebanyak 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Tiada lesen memandu mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak (24) kesalahan, diikuti ubah suai struktur kenderaan (13), kesalahan nombor pendaftaran dan tidak memakai topi keledar masing-masing mencatatkan (11) saman. Terdapat juga kesalahan memandu bawah umur yang mana antara yang diperiksa ini berusia 15 hingga 22 tahun.
Terdapat segelintir penunggang motosikal yang masih tidak serik walaupun mengetahui sebelum ini pihak polis pernah melaksanakan beberapa siri operasi di kawasan itu. Daripada jumlah individu yang diperiksa, tiga lelaki ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.
Ketiga-tiga tangkapan serta motosikal dibawa ke BSPTD Seremban untuk tindakan selanjutnya. Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Salah seorang suspek yang ditangkap kali ini didapati pernah dua kali ditangkap mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.
Sumber: Sinar Harian