Pemandu lori dan tiga penjaga stor warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan berurusan secara borong gas petroleum cecair tanpa lesen yang sah minggu lalu.
Tertuduh, M Mahendran, 28, warga tempatan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam. Tiga lagi tertuduh, Maung San Lin, 43, Saw Myint Thaung, 42, dan Saw Pa So Gay, 30, tidak dibacakan pertuduhan hari ini berikutan tidak memahami Bahasa Melayu.
Berdasarkan pertuduhan, Mahendran bersama-sama dengan seorang yang masih bebas didapati telah ada dalam jagaan Barang Kawalan Berjadual iaitu gas petroleum cecair sejumlah 3339.7 kilogram.
Ia dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong gas petroleum cecair tanpa suatu lesen yang sah daripada pengawal. Perbuatan itu dilakukan pada 15 Januari lalu jam 4.30 petang di premis tanpa nama, Kampung Ribu, Off Kampung Sawah, Rantau.
Sehubungan itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Alimah Mohd Sanusi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain ia melibatkan kepentingan awam dan negara.
Peguam, J Dasene yang menyebut bagi pihak A Partheeban memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap Mahendran susulan dia hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,300 sebulan selain merupakan penanggung tunggal keluarga.
Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terdekat serta tidak mengganggu mana-mana saksi dan jika ada pasport perlu diserahkan ke pihak mahkamah, manakala tiada jaminan diberikan kepada tertuduh warga Myanmar.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Februari ini dengan kehadiran jurubahasa Myanmar bagi tiga tertuduh warga asing itu.
Sumber: Sinar Harian