AGC TERIMA REPRESENTASI TIGA PEMBANTU PENGAJAR GISBH

Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima tiga representasi dikemukakan tiga pembantu pengajar sebuah madrasah berkaitan Global Holdings Sdn Bhd(GISBH) atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang dihadapi oleh mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Surita Budin memaklumkan representasi yang diterima melibatkan tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21.

Representasi tersebut telah dikaji dan diteliti di peringkat tertinggi dan pihak pendakwaan telah menerima untuk menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan.  Bagaimanapun seorang lagi tertuduh, Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23, kekal dengan pertuduhan sedia ada di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berikutan tidak mengemukakan representasi.

Dalam pada itu, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili keempat-empat tertuduh memaklumkan beliau memohon masa untuk berbincang lanjut dengan keluarga anak guam berkaitan hukuman atau apa-apa perintah. Surita kemudiannya menetapkan 14 Februari depan bagi status sama ada pihak pembelaan mahu meneruskan kes dengan pertuduhan pilihan dan hukuman alternatif atau sebaliknya.

Bagi seorang lagi tertuduh iaitu Ahmad Nadzful, turut ditetapkan tarikh sama bagi serahan laporan perubatan. Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya,Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan laporan tersebut tidak dapat diserahkan kepada pihak pembelaan pada prosiding pada Isnin.

Pada 19 September tahun lalu, Muhammad Habib Noh (lima pertuduhan), Muhammad Khunais (enam pertuduhan) dan Ahmad Nadzful (tiga pertuduhan) ditahan dalam Op Global dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada 2022 hingga 2023.

Keesokannya, Muhammad Fawzun pula tidak mengaku bersalah di mahkamah yang sama bagi enam pertuduhan atas perbuatan sama terhadap empat kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sekitar 2023.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tempoh 20 tahun dan boleh juga disebat.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗕𝗜𝗠𝗕𝗜𝗡𝗚 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗬𝗔

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Jabatan Pengangkutan …
Maklumat Lanjut

𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗞𝗛𝗔𝗦 𝗞𝗘𝗡𝗗𝗘𝗥𝗔𝗔𝗡

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Unit Operasi …
Maklumat Lanjut

𝐊𝐀𝐑𝐍𝐈𝐕𝐀𝐋 𝐈𝐍𝐎𝐕𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐑𝐎𝐌𝐎𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐆𝐈𝐆𝐈𝐀𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Sempena Minggu …
Maklumat Lanjut