KESELAMATAN MAKANAN, TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

Dalam usaha dan langkah untuk mengurangkan masalah kekurangan zat makanan, populasi dunia masih lagi digugat dengan pelbagai bentuk ancaman berkait dengan makanan. Masalah kekurangan vitamin dan mineral, obesiti serta penyakit tidak berjangkit bermaharajalela dalam masyarakat awam kini. Ancamannya tidak hanya terhenti setakat itu sahaja, tetapi juga melibatkan suatu aspek yang agak kurang diberi perhatian namun wajar dititikberatkan secara signifikan iaitu aspek keselamatan makanan. Ia jarang dibicarakanΒ tetapi menjadi unsur penting dalam kerangka pemilihan makanan berdasarkan konsep halal dan tayyib.

Industri makanan boleh mempengaruhi kesihatan manusia secara langsung dan oleh itu memastikan keselamatan dan kebersihan makanan sangat penting kerana membantu melindungi kesihatan pengguna daripada penyakit bawaan makanan dan keracunan makanan.

Memastikan makanan yang dihasilkan, dipasarkan, dimasak dan dimakan bebas daripada sebarang pencemaran serta jangkitan mikrob adalah menjadi keutamaan bagi setiap pihak yang berkepentingan dalam penghasilan makanan mahupun pengguna. Jutaan manusia yang jatuh sakit setiap tahun disebabkan Β mengambil makanan yang tidak selamat.

Penyakit bawaan makanan menghalang perkembangan sosioekonomi dengan menekan sistem penjagaan kesihatan, serta merugikan ekonomi, pelancongan dan perdagangan negara.

Banyak insiden yang berkaitan dengan keselamatan makanan membuka mata masyarakat dalam memastikan penjualan dan pembelian makanan di pasaran tempatan termasuk yang diimport adalah selamat. Pelbagai langkah digembleng oleh pihak kerajaan dalam usaha menjaga kualiti dan keselamatan makanan sama ada di peringkat pengusaha industri mahupun di premis makanan. Ini dapat memastikan agar penghasilan makanan adalah selamat tanpa mudarat dan memberi pilihan premis makanan yang bersih dan selamat kepada pengguna.

Namun begitu, bagaimana pula tahap kawalan keselamatan makanan sekiranya berada di rumah? Aspek keselamatan makanan tidak hanya tertakluk kepada usaha kerajaan untuk mengawalnya tetapi ia juga memerlukan komitmen pengguna. Ini kerana pencemaran boleh berlaku dalam setiap peringkat dan proses yang membabitkan makanan. Sebab itu, kesedaran pengguna harus ditingkatkan melalui program pendidikan amalan kebersihan diri dan sanitasi makanan yang baik.

Menjadi satu bencana kepada masyarakat sekiranya makanan yang kita ambil dalam kehidupan ini tidak selamat. Justeru, masih banyak yang perlu dibuat dan dianalisis oleh semua pihak yang berkepentingan dalam rantaian makanan bagi memperkasakan susun atur strategi dalam bidang pertanian, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial demi menyediakan makanan yang sihat dan selamat untuk semua. Penyepaduan usaha daripada semua akan menentukan tahap keselamatan makanan dan kesihatan kita dan generasi akan datang.

Β Sumber: Astroawani.com; IKM ; Foodsafely.org

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut