Bandaraya Melaka – Melaka mencatat nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion setakat September 2024, sekali gus membuktikan negeri ini terus diyakini pelabur domestik dan asing.
“Alhamdulillah, sehingga September 2024, Negeri Melaka mencatatkan nilai pelaburan memberangsangkan iaitu sebanyak RM5 bilion, RM0.8 bilion daripada pelaburan asing dan 4.2 bilion ringgit daripada pelaburan domestik.
“Pencapaian ini, adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan kerana secara tidak langsung mempamerkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi dan pembangunan Negeri Melaka.
“Dalam tidak sedar, pencapaian ini juga merupakan satu langkah positif yang dapat memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan untuk terus berusaha dan memperkukuh kerjasama untuk mencapai kemajuan yang lebih besar untuk Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Kumpulan Perbadanan Melaka (MCORP) di sebuah hotel di sini, malam ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi MCORP turut menyarankan MCORP agar terus mempromosi pelaburan bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur domestik dan asing ke negeri ini.
“Bergerak ke hadapan, saya melihat pelbagai usaha perlu terus diperkasa bagi menarik minat pelabur misalnya, melibatkan lebih banyak sektor pelancongan.
“Untuk itu, saya menyarankan agar MCORP terus optimis mempergiat promosi pelaburan, sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelabur masuk ke Negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu, seramai 151 warga kerja MCORP termasuk 11 kumpulan syarikat MCORP telah diraikan pada majlis tersebut.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)