Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri Terengganu tahun ini adalah amat memberangsangkan dan berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong.
Sasaran pada tahun 2025, masih belum ditetapkan dan akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong. Aspek perbelanjaan, latar belakang pengunjung serta mengenal pasti minat golongan berpendapatan tinggi atau rendah akan dinilai untuk menarik lebih ramai pelancong.
Selain itu, semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga. Seterusnya, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai ‘person in charge’.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah. Contohnya, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung pada Sabtu 2024 baru-baru ini telah berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Oleh itu, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri Terengganu.
Sumber: TRDI