KUANTAN, 2 JANUARI 2025 : Pahang mencatatkan seramai 31 kelahiran bayi tahun baharu 2025 bermula pukul 12 tengah malam sehingga jam 5 petang semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mencatatkan jumlah kelahiran bayi tahun baru paling tinggi iaitu seramai 14 bayi termasuk sepasang kembar.
“Selain itu, sembilan bayi dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, dua masing-masing di Hospital Bentong, Pekan dan Lipis, manakala Hospital Raub dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands masing-masing mencatatkan satu kelahiran,” katanya.
Tambahnya lagi, bayi pertama dilahirkan adalah pada pukul 12.12 pagi di HTAA.
“Bayi terbabit merupakan bayi lelaki Melayu seberat 2.85 kilogram (kg).
“Bayi bertuah ini merupakan anak ke-3 pasangan dari Kempadang, di sini dan dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal,” katanya.
Menurutnya lagi, daripada 31 bayi tahun baharu tersebut, 16 darinya merupakan bayi lelaki dan 15 lagi merupakan bayi perempuan.
“Daripada jumlah itu juga, 25 bayi dilahirkan melalui kaedah kelahiran normal dan enam yang lain dilahirkan melalui kaedah pembedahan.
“Seramai 22 bayi berbangsa Melayu, tiga anak Orang Asli, dua berbangsa Cina, seorang berbangsa India dan tiga dalam kategori lain-lain bangsa,” ujarnya.
SUMBER: PAHANGMEDIA