JOHOR BAHRU: Tukang paip lebur RM142,720 wang simpanan selepas diperdaya tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda, di media sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki warga tempatan berumur 54 tahun tertarik dengan iklan pelaburan saham di media sosial pada 31 Oktober lalu.
Katanya mangsa memaklumkan menekan pautan dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
“Mangsa berhubung dengan seorang lelaki dan berminat menyertai pelaburan itu. Kemudian mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp serta diajar membuat pelaburan saham.
“Mangsa memaklumkan dia telah berhubung dengan seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai khidmat pelanggan dan diarah memuat turun aplikasi pelaburan sekiranya mahu melabur.
“Tanpa berlengah mangsa memuat turun aplikasi tersebut dan mengisi butiran peribadi serta perbankan. Mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 400 peratus selepas tempoh matang tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Raub mangsa mempercayai pelaburan saham dan memindahkan sejumlah RM142,720 ke dalam enam akaun tempatan berbeza secara berperingkat.
Katanya mangsa telah melakukan 16 transaksi antara 4 November hingga 21 Disember lalu.
“Selepas membuat pindahan wang, mangsa cuba mengeluarkan keuntungan yang diperoleh tetapi diminta membuat pembayaran sebanyak RM47,000 lagi sebagai bayaran cukai.
“Mangsa percaya telah ditipu setelah gagal mendapat pulangan keuntungan yang dijanjikan.
“Siasatan awal mendapati lima daripada enam akaun yang digunakan mempunyai 83 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
SUMBER: BERITA HARIAN