4 KRU BOT TUNDA HAMPIR KARAM DISELAMATKAN

KUANTAN: Empat lelaki, termasuk tiga warga Indonesia, berjaya diselamatkan selepas bot tunda dinaiki mereka hampir karam akibat dipukul ombak di kira-kira 12 batu nautika tenggara Kuantan berhampiran pantai Lagenda, Pekan, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Mazlan Mat Rejab, berkata menurut laporan, Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan bot tunda Muhibah AP 12 itu pada jam 7.40 malam.

Berdasarkan maklumat awal diterima, beliau berkata, empat kru bot itu yang berusia antara 19 hingga 51 tahun dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan memakai jaket keselamatan.

“Sebaik saja menerima laporan itu, bot ronda Penggalang 19 diatur gerak ke lokasi itu. Namun, bot tidak dapat ke lokasi akibat cuaca buruk.

“Bagaimanapun kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, MRSC Kuantan dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan bahawa semua mangsa berjaya diselamatkan.

“Mereka diselamatkan melalui jalan pantai berikutan lokasi bot tunda terkandas itu berhampiran dengan pesisir pantai. Semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi CARILAMAT kemudian ditamatkan pada jam 4 pagi tadi selepas mendapat pengesahan semua mangsa diselamatkan.

“MRSC Kuantan dan Maritim Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM serta APM kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang operasi CARILAMAT itu berlangsung.

“Maritim Malaysia sentiasa komited menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat dan mengalu-alukan sebarang laporan kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Pahang melalui talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Artikel/Berita Terkini

AMALAN SUNAT BULAN ZULHIJJAH

AMALAN SUNAT BULAN ZULHIJJAH Ayuh hidupkan hari-hari penuh barakah ini dengan amalan sunat seperti:  Solat Sunat  Perbanyakan Solat Sunat  Puasa …
Maklumat Lanjut

KES BUANGAN HARAM DI PORT DICKSON, BEKAS PEGAWAI JAS ANTARA DIDAKWA

Dua individu termasuk seorang bekas Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan serta sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen …
Maklumat Lanjut

TREND KENDERAAN BERAT MENGGUNAKAN LORONG PALING KANAN MEMBIMBANGKAN – KP JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan membabitkan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dan kenderaan pengangkutan awam (KPA) yang …
Maklumat Lanjut