OPERASI: Pasukan operasi menjalankan operasi SAR di kawasan mangsa di laporkan hilang.
KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Kampung Bilit, di sini, awal pagi, tadi.
Mangsa berusia 40 tahun dipercayai dibaham buaya ketika berenang ke tebing sungai selepas bot dinaiki bersama rakannya karam, kira-kira jam 2 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Sukau, pada jam 1.35 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 74 kilometer dari balai bomba.
“Maklumat awal yang diterima daripada saksi bahawa mangsa bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan.
“Ketika dalam perjalanan, bot mangsa secara tiba-tiba terlanggar sesuatu objek, sebelum terbalik dan karam,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai, manakala mangsa dipercayai diserang buaya dan masih hilang
Nurul Azlan berkata, pasukan bomba menjalankan operasi SAR bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan orang kampung.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online