LEMAS: Pasukan bomba cuba membantu melakukan bantuan CPR terhadap mangsa yang ditemukan.
PAPAR: Dua ditemukan meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang dipercayai lemas ketika mandi di pantai Kampung Bundusan, di sini, petang tadi.
Seorang lagi mangsa dilaporkan selamat ketika ketibaan anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 6.01 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari MERS999 terdapat empat orang mangsa lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti mandi manda.
“Seorang mangsa berjaya ditemukan oleh orang kampung, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi mangsa dilaporkan berjaya diselamatkan oleh orang kampung, manakala mangsa ketiga pula ditemukan lemas pada jam 6.56 petang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang.
Terdahulu, dua mangsa yang ditemukan meninggal dunia ialah remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



