Wanita warga Indonesia bersama kekasihnya, juga wanita berperawakan seperti lelaki mampu meraih RM100 dalam tempoh dua jam dengan hanya menilik nasib seseorang menggunakan kad tarot.
Mereka yang berusia lingkungan 30-an disyaki melakukan perbuatan bertentangan hukum Islam itu di sebuah rumah dua tingkat di Sendayan, dekat sini sejak pertengahan tahun ini menerusi siaran langsung di TikTok.
Bayaran dikenakan kepada pelanggan adalah menerusi pemberian gift di TikTok berdasarkan tiga ramalan yang dilakukan, iaitu percintaan, nasib ekonomi dan tuah kehidupan. Sebelum ditilik, pelanggan perlu membuat bayaran melalui pemberian gift yang boleh ditukar dalam bentuk wang. Kegiatan pasangan berkenaan bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Negeri Sembilan (JHEAINS) sebelum kedua-dua wanita itu ditahan pada Jumaat minggu lalu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata mereka ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Sendayan pada jam 9 malam Jumaat lalu kerana disyaki melakukan perbuatan salah di sisi Islam dan bersubahat. Suspek mendakwa hanya memperoleh RM20 sehari, tetapi kami percaya mereka boleh dapat lebih berdasarkan kemampuan menyewa rumah yang kadar sewanya lebih RM1,000 sebulan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja dan wanita Indonesia itu pula didapati tinggal lebih masa di negara ini. Wanita Indonesia itu disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu melakukan perbuatan salah, manakala seorang lagi di bawah Seksyen 34 enakmen sama kerana bersubahat.
Suspek didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Sabtu lalu dan diperintah membayar wang jaminan, masing-masing RM3,500 dan RM2,500. Ini kali pertama penguatkuasaan terhadap ajaran salah menilik masa depan yang termasuk dalam amalan khurafat. Apa yang membimbangkan adalah aktiviti itu mendapat sambutan orang muda dan jika dibiarkan, boleh merosakkan akidah umat Islam, selain boleh memberi kesan psikologi kepada seseorang yang ditilik sekiranya mereka percaya ramalan berkenaan.
Contoh, kalau tukang tilik beritahu masa depan individu yang ditilik itu akan susah, semestinya individu itu akan hilang semangat dan emosinya terganggu. Benda ini nampak kecil, tapi ia sangat bahaya jika tidak dibendung.
Sumber: Berita Harian