POLIS AMBIL KETERANGAN 3 INDIVIDU BERHUBUNG PERKAHWINAN DIRAJA TENGKU MAHKOTA PAHANG

BENTONG: Polis mengambil keterangan tiga individu berhubung satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja membabitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kesemua individu itu dipanggil Ahad lalu bagi membantu siasatan berkaitan hantaran yang dimuat naik oleh pengguna platform di Instagram dengan nama Faridah Daud.

Beliau berkata pihaknya juga telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sekarang kita sudah ambil tiga keterangan, kes ini masih dalam siasatan. Kita sedang buat pemprofilan dan juga giat mengesan Faridah, diharap orang ramai dapat bekerjasama membantu kita menyalurkan maklumat (mengesan Faridah) untuk mempercepat proses siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Kejayaan Tangkapan Kumpulan Samun Geng Heri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Istana Pahang sebelum ini menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata hantaran yang dimuat naik oleh wanita itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.

Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan, dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …