Kerajaan Kelantan meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi (REE) yang dijalankan secara haram, terutamanya di Gua Musang dan Jeli.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata Kelantan adalah negeri kedua terbesar pengeluaran REE selepas Terengganu.
Pada Isnin, melalui Operasi Khazanah Khas 1/24, polis menahan 29 individu termasuk penduduk tempatan dan warga asing di Hutan Simpan Kekal Lebir, Gua Musang.
Peralatan dan bahan yang dipercayai REE turut ditemui. Semua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen dan Enakmen Mineral 2001.
Pihak berkuasa juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan aktiviti mencurigakan.
Sebelumnya, polis juga menahan 55 individu dalam tiga serbuan berasingan di Gua Musang dan Banting, Selangor, berkaitan perlombongan haram REE yang disyaki diproses untuk dieksport ke luar negara.
Sumber: Sinar Harian