Sebanyak 180 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kelantan terjejas akibat banjir gelombang pertama bulan lalu, yang melibatkan sekitar 8,000 murid dan 400 kakitangan.
Tiga daerah yang paling teruk terjejas adalah Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang dengan paras air melebihi 1.5 meter dan di Teluk Jering, Tumpat, paras air mencecah hingga tiga meter.
Pengarah Kemas Kelantan, Wan Norlee Wan Ismail, berkata jumlah kerugian akibat banjir masih belum dapat dipastikan kerana mereka masih mengumpul data kerosakan.
Walaupun begitu, kerja pembersihan telah dimulakan lebih awal, dan beberapa tabika sudah mula beroperasi semula, manakala yang lain melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sebanyak 31 tabika di Tumpat turut terjejas, dan usaha pembersihan telah dijalankan di beberapa kawasan.
Sumber: Sinar Harian