Semua pengendali bas Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau Bas.My diingatkan supaya sentiasa mengikuti jadual laluan yang ditetapkan walaupun hanya ada satu penumpang dalam satu-satu masa. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, perkhidmatan Bas.My ini akan dipantau melalui Sistem Kedudukan Global (GPS) dari segi ketersediaan perkhidmatan dan ketepatan masa. Ia bagi memastikan tahap perkhidmatan dalam keadaan cekap, selamat dan efisien. Sekiranya pengendali gagal menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi dua aspek ini, penalti akan dikenakan. Dalam skim ini pengendali tidak boleh potong frekuensi atau laluan yang ditetapkan walaupun hanya ada seorang penumpang, tiada alasan untuk mereka potong (laluan) sebab kalau potong mereka tidak dapat bayaran.
Program SBST Seremban yang bermula pada tahun 2015 kini telah diperbaharui sehingga tahun 2029 dengan beberapa penambahbaikkan dari segi jenis bas dan kemudahan untuk pengguna. Kerajaan melantik dua pengendali secara tender terbuka untuk menjalankan perkhidmatan Bas.My Seremban di Negeri Sembilan agar setiap pengendali dapat memberi fokus kepada kawasan masing-masing selain memastikan perkhidmatan yang cekap dan efisien dapat diberikan kepada rakyat. Bas.My di Seremban melibatkan tujuh tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol, Majlis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Rembau dan Majlis Daerah Tampin. Melalui inisiatif Bas.My Seremban ini, sebanyak 85 bas baharu termasuk 18 bas panjang, 61 bas mini dan mini low floor serta dua van.
Bas-bas yang digunakan juga ditambah dengan ciri-ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas. Selain memastikan perkhidmatan bas yang berkualiti disediakan, Kerajaan Madani juga amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam yang ditanggung oleh rakyat. Oleh itu, pas bulanan perjalanan tanpa had Bas.My akan diperkenalkan di Seremban. Dengan Pas Bulanan Bas.My ini, pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua 21 laluannya bagi tempoh 30 hari. Pihaknya juga akan memperkenalkan kad konsesi Bas.My yang boleh dinikmati oleh golongan warga emas berumur 60 ke atas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah berumur tujuh sehingga 17 tahun. Mereka hanya mendaftar sekali sahaja dengan membayar RM10 sahaja sekali gus membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan percuma ini.
Sumber: Sinar Harian