KUANTAN, 6 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang telah merangka pelan pembangunan di setiap stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi merancakkan pembangunan dan ekonomi setempat dan dapat memberi impak bernilai tinggi yang tidak terhad kepada aspek jaringan perhubungan semata-mata.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini telah mendapat kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, PLANMalaysia dan MIDA.
“Di sepanjang laluan ECRL dalam negeri Pahang yang menempatkan tujuh buah Stesen ECRL yang bermula dari Stesen Cherating sehingga ke Stesen Bentong, Kerajaan telah merangka Pembangunan Berorentasikan Transit, Pembangunan Berorentasikan Hub Logistik atau Kargo, serta Projek Pemacu Ekonomi.
“Pembangunan Berorentasikan Transit atau Transit Oriented Development (TOD) terletak dalam radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL. Pembangunan seperti pusat komersial, perumahan, pusat pendidikan serta projek komuniti adalah antara projek yang dirancang dalam radius TOD di setiap stesen tersebut.
“Manakala Pembangunan Berorentasikan Hub Logistik atau Kargo, adalah projek untuk memastikan perancangan dibuat bagi membangunkan setiap satu stesen ECRL ini menjadi pusat pengendali kargo dan pusat setempat. Di setiap stesen ini telah pun dimuktamadkan atau di peringkat akhir perbincangan, dalam menentukan jenis kargo atau hub yang akan dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pelan pembangunan ini turut diberi penekanan dalam Pelan Guna Tanah ECRL dan lokasi-lokasi ini sedang dipromosikan untuk menarik pelabur dalam pembangunan industri, logistik dan komersial.
“Malah, inisiatif terkini daripada Kerajaan Negeri ialah Pembangunan Industri Halal Pahang yang mana lokasi-lokasi terpilih adalah berdekatan dengan Stesen Bentong, Gambang dan Pelabuhan Kuantan,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA