SEGI Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menjadi inisiatif kerjasama sub serantau diusahakan secara bersama oleh Indonesia, Malaysia dan Thailand pada 1993.
Kerjasama serantau ini bertujuan mempercepatkan proses transformasi ekonomi wilayah kurang membangun. Selain itu, ia juga platform mengintegrasikan rantau kecil yang akan memberikan sumbangan terus kepada pelaksanaan integrasi ASEAN.
Walaupun Pahang bukan di bawah sub- wilayah pembangunan IMT-GT pada awalnya, berdasarkan analisis projek inisiatif di bawah IMT-GT, negeri itu berpotensi dijadikan sebagai hab dalam projek IMT-GT.
Impak kerjasama projek pembangunan IMT-GT dilihat mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan di Pahang, selain membantu membasmi masalah kemiskinan.
Menerusi kerjasama IMT-GT, sektor swasta terus didorong menjadi ‘enjin pertumbuhan’. Teori Heckscher-Ohlin yang juga antara teori asas perdagangan antarabangsa menyatakan sesebuah negara akan mengeksport barangan yang pengeluaran secara relatifnya teranugerah banyak dalam negara berkenaan dan akan mengimport barangan yang pengeluarannya secara relatifnya teranugerah sedikit.
Justeru, penyertaan Pahang dalam IMT-GT mampu meluaskan lagi akses pasaran produk berasaskan sawit dan durian kepada negara anggota, selain menjalinkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan lagi hasil dan mutu pertanian.
Pahang juga kaya dengan sumber perikanan laut dan sungai. Kerajaan negeri boleh menjalinkan perjanjian dengan Kementerian Pelancongan negara anggota bagi membekalkan produk berasaskan perikanan dan pertanian kepada hotel dan restoran terkemuka di negara anggota.
Pahang miliki infrastruktur lengkap
Meskipun Pahang tidak bersempadan dengan mana-mana negara IMT-GT seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan, dari segi potensi negeri itu mempunyai kelebihan setanding serta mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi serantau.
Di Pantai Timur, Pahang mempunyai pakej lengkap dari segi infrastruktur seperti jaringan lebuh raya, laluan kereta api dan kemudahan pelabuhan.
Pahang juga menjadi destinasi pelaburan negara dunia umpamanya China.
Iklim pelaburan baik menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan terbaik berbanding negeri lain Pantai Timur. Dengan adanya Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), negara IMT-GT mempunyai hubungan dagang dengan China juga boleh menjadikan pelabuhan Kuantan sebagai transit untuk melakukan pertukaran barang dagangan.
Kerajaan negeri juga boleh membuka IMT-GT Industrial Park, sekali gus menambah lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Kerajaan negeri juga perlu merangka polisi yang menetapkan 60 peratus pekerja di IMT-GT Industrial Park mestilah warga tempatan. Sebagai timbal balas, kerajaan negeri perlu memberikan galakan pelaburan seperti kadar cukai berpatutan.
Kedudukan Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan turut sesuai dijadikan pelabuhan transit bagi negara IMT-GT yang mempunyai hubungan dagang dengan China, Jepun dan Korea.
Kerajaan negeri juga perlu mempertingkatkan jaringan jalan raya, selain memanfaatkan laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pada masa sama, kerajaan negeri wajar membina infrastruktur terminal air dalam baharu bagi membuka peluang Pelabuhan Kuantan untuk memberi perkhidmatan kepada industri lebih besar, sekali gus terus membangunkan pengendalian kargo pukal kering, pengendalian kontena dan kargo pukal.
Bagi tujuan itu, pematuhan undang-undang serta penguatkuasaan oleh pihak kastam dan imigresen juga perlu dipertingkatkan berikutan skala perdagangan semakin meluas.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub
SUMBER: BH