KUANTAN, 05 DISEMBER 2024 : Pemilik haiwan ternakan lembu dan kerbau boleh dikenakan tindakan undang-undang bagi kesalahan membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan awam.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, ia di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 Seksyen 9 (1) melibatkan kawasan larangan.
“Untuk makluman, di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 Seksyen 9 (1), mana-mana orang yang bertanggungjawab ke atas kerbau lembu yang didapati berada di dalam kawasan larangan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua bagi kesalahan membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan larangan.
“Kawasan larangan yang dinyatakan di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 adalah permukaan jalan, kawasan dalam lingkungan 20 meter dari bahu jalan, dan semua tempat awam. Kawasan persendirian tidak termasuk di dalam takrifan kawasan larangan di dalam enakmen ini,” katanya.
Menurut beliau, di bawah enakmen yang sama, pihak berkuasa boleh menangkap ternakan yang dibiarkan berkeliaran bagi memastikan tiada kesalahan dari segi undang-undang.
“Di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001, hanya pegawai yang diberi kuasa boleh menangkap ternakan yang dibiarkan berkeliaran bagi memastikan tiada kesalahan dari segi undang-undang.
“Bagaimanapun, orang awam boleh turut menghubungi pihak-pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 dan lain-lain undang yang berkait,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan penambahbaikan perundangan kepada pihak berkuasa negeri untuk keputusan mewajibkan penandaan ternakan di bawah Akta Binatang atau enakmen negeri.
“Pihak jabatan telah meneliti perundangan-perundangan di bawah bidang kuasa bagi mewajibkan penandaan ternakan samada tagging atau freeze branding melibatkan Akta Binatang atau enakmen negeri bagi menangani isu berkaitan pendaftaran dan penandaan ternakan.
“Penambahbaikan perundangan tersebut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri untuk keputusan. Pada masa ini, pihak jabatan telah melaksanakan program freeze branding untuk ternakan lembu dan penandaan secara tagging bagi program kawalan penyakit berjangkit.
“Pihak jabatan berusaha meningkatkan kekerapan operasi walaupun dengan kekangan anggota. Pihak Kerajaan Negeri ada bercadang untuk membuat task force secara bersepadu bersama-sama agensi-agensi yang terlibat bagi menangani isu ternakan berkeliaran. Dicadangkan penyelarasan dilaksana oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) atau Pejabat YAB MB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
SUMBER: PAHANGMEDIA