KKDW SEDIA RUMAH BAHARU, BAIK PULIH KEDIAMAN DI DESA TERJEJAS BANJIR – TPM ZAHID

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menyediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman di kawasan desa yang terjejas akibat banjir kali ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata ia adalah antara usaha yang bakal digerakkan di peringkat kementerian bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

“Saya mahu KKDW melalui setiap jabatan, agensi, dan anak syarikat untuk bersama-sama mengambil inisiatif yang sesuai serta menggerakkan usaha bagi membantu mangsa banjir,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan KKDW dan sambutan hari inovasi dan kualiti, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir juga akan dilancarkan bagi menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian kepada mangsa.

Beliau berkata kerajaan MADANI kini memberikan tumpuan sepenuhnya, dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir buruk.

Sedia hadapi gelombang kedua banjir

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri berkata kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka bermula 8 hingga 14 Disember ini telah dilaksanakan semua agensi di pelbagai peringkat, supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pahang dan Johor akan turut terlibat (banjir) dan kita harap jawatankuasa bencana negeri dan daerah bersiap siaga. Kesiapsiagaan perlu kita buat awal bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya yang menyifatkan banjir kali ini teruk berbanding pada 2014.

Jumlah mangsa di negeri-negeri yang terjejas banjir pagi ini merekodkan penurunan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi.

Kelantan, Pahang dan Johor merekodkan sedikit peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir manakala tiga negeri lagi iaitu Terengganu, Perak dan Kedah menurun sementara Melaka kekal.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut