TPM ZAHID ARAH PANTAU KAWASAN BERISIKO TANAH RUNTUH

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan agensi berkaitan untuk memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh, terutama membabitkan kawasan lereng bukit atau gunung.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang menimpa kediaman penduduk di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini, semalam, daripada berulang. “Isu berkaitan tanah runtuh ini bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), jadi kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu ke lokasi (tanah runtuh).

“Ia kerana kita melihat (terdapat) laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan berlaku runtuhan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, di sini, hari ini.

Kejadian semalam menyebabkan dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit dihempap tanah runtuh. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa bencana itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran. Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Mereka yang berada di kawasan cerun atau lereng bukit atau gunung, dinasihatkan lebih berhati-hati. Semua pihak harus bersiap siaga kerana keadaan MTL pada 2024 lebih buruk berbanding 2014,” katanya.

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …