BINCANG: Rosmadi (tengah) berbincang dengan ADUN bukan parti kerajaan sempena sesi libat urus yang diadakan semalam.
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri, telah mengadakan Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Siri 01, di sini semalam.
Sesi libat urus itu khusus untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan kerajaan.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan kerajaan dan tiga lagi wakil ADUN lain menyertai sesi berkenaan.
Mereka ADUN berkenaan ialah Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) dan Dr. Daud Yusof (Bongawan).
Manakala tiga wakil ADUN adalah dari kawasan DUN Sungai Manila, Sukau dan Darau.
Sesi libat urus itu diadakan susulan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-16 baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Haji Datu Rosmadi Sulai, telah menyampaikan perutusan dan pembentangan pengenalan Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.
Rosmadi berkata, kerajaan negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau memohon bantuan dan kerjasama daripada semua ADUN untuk mengenal pasti senarai rakyat termiskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.
Katanya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input dan cadangan daripada semua, terutama ADUN bukan parti kerajaan dari segi menambah senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan DUN masing-masing ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS).
Rosmadi berkata, sesi libat urus ini mencerminkan keterbukaan dan komitmen pimpinan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah.
Sempena sesi libat urus itu, ADUN dan wakil mereka didedahkan dengan Sistem PADAS dan tatacara permohonan pendaftaran sistem itu bagi tujuan intervensi bantuan kelak.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online