Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menyediakan kawasan khas untuk penempatan payung pantai yang lebih cantik dan tersusun membabitkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang pada 16 Disember ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata MPPD menyediakan 33 plot perniagaan payung pantai baharu itu menggantikan khemah biru yang mencemarkan pandangan di kawasan Pantai Telok Kemang. Keputusan itu diambil hasil perbincangan dan libat urus antara Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kemang, yang diadakan pada September lalu.
Untuk tujuan pelaksanaan kaedah baharu ini, MPPD menjalankan kerja naik taraf dan penyediaan plot bermula 18 November lalu sehingga 15 Disember ini. Kaedah baharu ini bagi penyelesaian isu terbabit (khemah biru) dan adalah penggunaan payung pantai yang lebih tersusun dan terkawal. Penentuan kawasan khas untuk penempatan payung pantai akan melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang.
Beliau memberi penjelasan berhubung isu tular di media sosial berkenaan sewaan khemah biru di Pantai Telok Kemang serta tindakan yang diambil bagi mengembalikan imej baik pantai berkenaan. MPPD menyediakan hanya 33 plot perniagaan payung pantai berdasarkan kesesuaian lokasi. Setiap plot berukuran 12-meter x 6 meter (40 kaki x 20 kaki) dan perniagaan sewaan payung pantai hanya dibenarkan berada di plot masing-masing berdasarkan keluasan yang telah ditetapkan.
MPPD akan menyediakan sebanyak lapan unit payung pantai, dua buah kerusi dan sebuah meja yang bersesuaian bagi setiap plot. Berdasarkan jumlah peniaga semasa melebihi plot yang disediakan, kaedah undian yang layak akan dibuat oleh MPPD dalam tempoh terdekat. Media sebelum ini melaporkan MPPD telah memberikan notis pemberhentian perniagaan sewaan khemah bagi ketiga-tiga pantai, iaitu Pantai Telok Kemang, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru berkuat kuasa 18 November.
Sumber: Berita Harian