Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa berurus niaga menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100 dalam kejadian di sekitar premis Pekan Kuala Pilah pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani, laporan polis mengenai kejadian itu telah diterimanya pada Isnin jam 10 pagi daripada seorang wanita iaitu petugas kaunter di sebuah pasaraya. Lelaki berkenaan menyerahkan RM100 untuk membeli gel rambut, setelah petugas itu menyedari duit berkenaan palsu, lelaki tersebut bertindak melarikan diri.
Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berkenaan telah beredar menggunakan kereta jenis dan warna tidak pasti. Kes telah dibuka di bawah Seksyen 489 (B) Kanun Keseksaan dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Sarjan Maznah Salleh ditalian 06-4811222 atau datang ke balai polis berhampiran. Sementara itu, terdapat beberapa peniaga lain yang mendakwa turut menjadi mangsa lelaki itu selain berkongsi mengenai kejadian itu di laman sosial Facebook sebagai peringatan kepada orang ramai.
Sumber: Sinar Harian