Kita semua tahu bahawa melancong memberi inspirasi dan galakan – tetapi adakah anda tahu bahawa melancong boleh meningkatkan kesihatan emosi anda? Apabila melancong, kita akan mendapat peluang bukan sahaja untuk meletakkan diri kita ke dalam situasi yang baru tetapi juga mencabar diri kita sendiri, dan fikiran kita boleh mendapat manfaat daripadanya.
Bercuti selepas tempoh bekerja kuat amat penting untuk mengekalkan keseimbangan hidup dan kesejahteraan diri. Menurut dapatan utama Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, bilangan rakyat yang mengalami kemurungan telah meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023. Oleh itu, kerajaan memandang serius isu kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menekankan kepentingan melancong sebagai salah satu kaedah yang berkesan untuk pemulihan mental.
Aktiviti melancong bukan sekadar mengambil cuti daripada rutin harian dan pekerjaan, tetapi juga merupakan satu bentuk istirahat yang sangat berharga. Ia membantu memulihkan tenaga mental dan fizikal, menstabilkan semula kesejahteraan emosi dan mental. Kesan daripada proses pemulihan ini, kita akan kembali bekerja dengan semangat yang lebih segar, meningkatkan produktiviti serta membuka ruang kepada idea-idea kreatif yang baharu.
Meneroka Budaya Baharu dan Memperluas Pandangan
Meneroka tempat-tempat baharu memberi kita peluang untuk mendalami budaya, perspektif dan pengalaman berbeza, menjadikan pandangan kita lebih luas tentang dunia. Selain itu, bercuti juga memberi ruang untuk refleksi diri, serta peluang untuk merapatkan hubungan, terutamanya apabila kita melancong bersama orang tersayang. Hakikatnya, percutian bukanlah satu bentuk kemewahan semata-mata—ia adalah pelaburan untuk kebahagiaan hidup dan kejayaan jangka panjang dalam kerjaya kita.
Melancng juga dapat mengecas kehidupan emosi anda dan membentuk empati. Menurut Wallace J. Nichols, pengarang “Blue Mind: The Surprising Science That Shows How Being Near, In, On, or Under Water Can Make You Happier, Healthier, More Connected, and Better at What You Do, melancong – terutamanya tempat-tempat yang berhampiran air – memberikan kita peluang untuk menetapkan semula emosi kita dan membentuk empati. “Sering dikaitkan dengan perasaan kagum, air boleh meningkatkan empati dan belas kasihan kita, hubungan dengan diri sendiri dan orang lain, dan bagi ramai orang- dari pemuzik seperti Pharrell Williams sehingga pakar neurologi seperti Oliver Sacks -. ia adalah sumber yang stabil bagi kreativiti dan wawasan,”.
Sudah semestinya dan ia bukanlah sesuatu yang menghairankan bahawa melancong akan menenangkan fikiran dan melegakan tekanan anda. Ia telah dibuktikan secara saintifik bahawa bercuti melahirkan kebahagiaan dan mengurangkan kesedihan. Menurut Dr. Margaret J. King, pengarah Center for Cultural Studies & Analysis, iaitu satu institut yang memberi tumpuan kepada idea, produk yang mendorong keputusan pengguna. ‘Banyak faedah psikologi dari perubahan tempat dari rumah dan tempat kerja ke “tempat asing” hanya untuk menikmati alam sekitar. Dengan beberapa aktiviti ringan setiap hari, ditambah pula dengan minda yang bebas dari kerumitan projek, minda boleh ditetapkan semula, seperti badan, yang akhirnya menghilangkan stres.
Satu kajian pada tahun 2014 yang dijalankan oleh Diamond Resorts International mendedahkan bahawa lebih 75 peratus daripada jumlah pelanggannya melahirkan rasa gembira mereka apabila mereka melancong sekurang-kurangnya sekali setahun.
Melancong merupakan satu bentuk terapi yang efektif untuk minda dan jiwa. Dengan memberikan peluang untuk bersantai, meneroka, dan mengalami sesuatu yang baru, aktiviti ini dapat menyumbang kepada kesejahteraan mental dan emosional individu. Oleh itu, tidak salah untuk menyatakan bahawa melancong adalah salah satu pelaburan terbaik untuk diri sendiri. Secara keseluruhannya, melancong berperanan sebagai satu bentuk terapi yang dapat merangsang pemulihan mental dan emosi, menjadikan ia aktiviti yang berfaedah untuk kesejahteraan individu.
Selain itu juga, dengan melancong di dalam negara, ia bukan sahaja dapat menjadi terapi minda, malah ia dapat membantu penduduk setempat untuk meningkatkan sumber ekonomi mereka dengan kehadiran pengunjung dari serata negeri.