NARCISSTIC PERSONALITY DISORDER (NPD) – DURI DALAM DAGING ORGANISASI

 

“A grandiose sense of self-importance” – Ambardar. S (2023)

Karakter di atas merupakan salah satu ciri personel yang mempunyai gangguan personaliti yang dinamakan sebagai Gangguan Personaliti Narsistik (NPD). Ia dialami oleh seseorang yang terlalu mengagumi kelebihan sendiri, terlalu dahagakan perhatian dan kurang rasa empati terhadap orang lain.

Perkataan narsisime pada asalnya berkaitan dengan mitos Greek yang menggambarkan seorang anak muda bernama Narcissus yang jatuh cinta dan kagum dengan pantulan imejnya sendiri di kolam. Beliau dikatakan menghabiskan masa dengan duduk di kolam tersebut dan terlalu asyik dengan kecantikan fizikal secara berlebihan.

Bacaan statistik menunjukkan bahawa sebanyak satu peratus golongan narsisis boleh dikenalpasti daripada populasi dunia. Dalam konteks negara Malaysia, seramai 300,000 orang dari pelbagai latar belakang sebenarnya tergolong sebagai narsisis tanpa mereka sedari.

Kelebihan yang dicanang oleh individu narsisis ini sebenarnya merupakan gambaran betapa rapuhnya jiwa mereka yang tidak boleh berhadapan dengan kekecewaan.

Mereka turut merasakan maruah orang lain lebih rendah malahan diri mereka terasa tercabar dengan pujian yang diterima oleh orang lain sedangkan pada hakikatnya, mereka sedang berlawan dengan perasaan dan harga diri sendiri yang sebenarnya takut untuk dilihat gagal.

Diri mereka turut terlalu dahagakan perhatian dan pujian dengan mengeksploitasi orang lain untuk mencapai matlamat kerana narsisis ini tidak pernah berpuas hati dengan keadaan di takuk yang lama.

Diri mereka juga akan sentiasa mencari peluang dan kelemahan mangsa dalam melunaskan perasaan ketidakpuasan hati mereka.

Sifat sebegini bukan sahaja terjadi dalam perhubungan di rumah, kejiranan atau sekolah tetapi sebenarnya turut wujud di tempat kerja.

Adakah individu narsisis ini mampu mengancam keharmonian dalam sesebuah organisasi?

Hubungan harmoni antara majikan dengan pekerja atau sesama pekerja perlu dipelihara agar gerak kerja sesebuah organisasi dapat dilaksanakan secara lancar dan mantap seterusnya mampu mencapai matlamat kejayaan sesebuah organisasi.

Walau bagaimanapun, keharmonian tersebut boleh tergugat apabila individu narsisis ini sanggup membuat apa sahaja kaedah untuk memecahbelahkan hubungan antara rakan sekerja dan orang bawahan mahupun atasan hanya kerana mereka marah apabila tidak mendapat layanan istimewa.

Apakah individu narsisis ini membawa kebaikan kepada organisasi?

Sesetengah individu akan berpandangan bahawa narsisis ini sebenarnya boleh membawa keuntungan kepada sesebuah organisasi sekiranya gangguan personaliti ini diolah menjadi pengaruh positif kepada orang sekeliling. Mereka bertanggapan bahawa kehadiran narsisis ini boleh “memotivasikan” orang lain untuk lebih meningkatkan produktiviti kerja masing-masing kerana narsisis ini sentiasa berusaha menyaingi keadaan sedia ada. Walau bagaimanapun, kaedah serampang dua mata ini sebenarnya berupaya mencemarkan keharmonian sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh mereka yang lebih berkuasa dalam sesebuah tingkatan organisasi.

Bolehkan individu narsisis ini dirawat?

Secara perubatan, Gangguan Personaliti Narsistik (NPD) ini boleh diurus dengan pendekatan psikoterapi seperti psikoterapi individu, psikoterapi berkumpulan, psikoterapi keluarga, psikoterapi pasangan, terapi kognitif tingkah laku, atau psikoterapi berasaskan objektif jangka pendek.  Namun, agak sukar bagi pengidap NPD untuk bersetuju menerima rawatan kerana secara dasarnya, mereka akan berfikiran tiada apa yang salah pada diri mereka.

Apakah peranan orang sekeliling?

Pengidap NPD ini kebiasaanya tidak menyedari keseriusan gangguan NPD ini kerana mereka terlalu leka dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Justeru, di sinilah wujudnya peranan penting orang sekeliling bagi membantu menyedarkan pengidap NPD dengan memberi peringatan dan garis pemisah agar golongan narsisis ini memahami keburukan tingkah laku mereka dan memberi tamparan realiti bahawa mereka sebenarnya tidak dikagumi orang lain sepertimana sangkaan mereka itu.

Tuntasnya, sifat narsistik ini boleh diklasifikasikan sebagai satu penyakit dan sifat mazmumah yang memakan diri sendiri dan mampu memberi impak buruk ke atas masyarakat sejagat. Justeru, kesediaan membaiki diri dan kebijaksanaan pengurusan sumber manusia bagi sesebuah organisasi sebenarnya berupaya memelihara keselamatan rakyat biarpun hanya bermula daripada seseorang individu. Ia turut bertepatan dengan pemeliharaan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 (DKN 2021-2025), Teras 8: Keselamatan Rakyat dan Matriks Keselamatan Negara iaitu di bawah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.

Disediakan oleh: Nur Aisyah Mohd Yusoff

 

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut