LAWATAN KERJA MENTERI DALAM NEGERI KE BUKIT KAYU HITAM – PROJEK LALUAN JALAN RAYA MENGHUBUNGKAN MALAYSIA DAN THAILAND PERLU DIPERCEPATKAN

 

Projek pembinaan laluan jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand, dijangka memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand serta memudahkan pergerakan ekonomi dan sosial di kawasan sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa projek ini melambangkan komitmen Kementerian untuk memastikan keselamatan sempadan yang terjamin, di samping menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk pasukan keselamatan negara.

“Laluan ini bukan sahaja akan melancarkan aliran keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga meningkatkan keselamatan dan keselesaan pergerakan kenderaan berat serta awam di sempadan strategik ini,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook selepas meninjau tapak projek tersebut hari ini.

Lawatan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Razman Abu Samah.

Saifuddin Nasution menekankan, skop utama projek melibatkan pembinaan jalan berkembar enam lorong sepanjang 900 meter dan Jalan Perkhidmatan Piawaian sepanjang 300 meter yang menghubungkan jalan utama dengan Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam.

Selain itu, projek ini juga melibatkan perobohan dan pembinaan semula 10 blok bangunan di Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Bukit Kayu Hitam, serta pembinaan Pos Kawalan Akhir dan Pintu Gerbang Berbumbung baharu yang akan menjadi simbol penyambutan antara dua negara.

“KDN akan terus komited memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap tertinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, ihsan, dan kesejahteraan untuk semua,” tambahnya lagi.

Projek ini diyakini akan membawa impak positif bukan sahaja dari sudut keselamatan sempadan tetapi juga dalam meningkatkan kerjasama ekonomi, perdagangan, dan sosio-ekonomi antara Malaysia dan Thailand, dengan manfaat yang bakal dirasai penduduk di kedua-dua negara jiran.

-Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut