Menjelang awal bulan November sehingga penghujung Januari tahun berikutnya, Malaysia biasanya akan mengalami perubahan penerimaan hujan. Hujan lebat akibat tiupan angin monsun timur laut akan melanda negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Pantai Timur Laut Sabah sepanjang tempoh ini.
Jika keadaan berlarutan, negeri-negeri berkenaan mungkin dilanda banjir. Dalam keadaan yang teruk, banjir akan memberi impak kepada kehidupan harian orang ramai terutamanya dari aspek pengurusan kesihatan kerana terdapat fasiliti kesihatan yang terlibat dalam banjir.
Banjir sememangnya memberikan implikasi besar kepada pengurusan kesihatan pesakit dan salah satunya adalah pengurusan dan pembekalan ubat-ubatan. Kerap kali pesakit mendakwa bahawa mereka mengalami masalah bekalan ubat terputus kerana tidak dapat menyambung bekalan ubat di fasiliti kesihatan akibat daripada terputus hubungan atau menjadi mangsa banjir.
Selain itu, ada juga pesakit yang mengadu bahawa bencana banjir yang terjadi secara tiba-tiba telah menenggelamkan bekalan ubat mereka kerana tidak sempat diselamatkan. Perkara ini menjadi lebih serius apabila semua rekod perubatan turut hilang. Sehubungan itu, pesakit yang tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir perlu diberi pendedahan berkaitan cara pengurusan ubat yang betul dan sistematik untuk menghadapi banjir.
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
Pesakit yang tinggal di kawasan yang berisiko dilanda banjir seharusnya bersedia lebih awal. Pesakit kronik perlu memastikan bahawa bekalan ubat yang diperlukan untuk mengawal penyakit adalah mencukupi sepanjang tempoh musim banjir. Ubat-ubatan tersebut perlulah disimpan dalam keadaan yang sepatutnya, iaitu pada suhu yang betul, dilindungi daripada kelembapan dan cahaya dan jauh daripada capaian kanak-kanak.
Yang paling penting, ubat perlulah disimpan dalam bekas atau di lokasi yang memudahkannya dipindahkan sekiranya air banjir mula naik. Dokumen atau rekod perubatan juga perlu disimpan dengan selamat supaya tidak hilang atau musnah semasa banjir.
Selain itu, pesakit boleh meminta kerjasama doktor yang merawat supaya memberikan tarikh janji temu seterusnya selepas tempoh musim banjir. Ubat biasanya akan dibekalkan oleh unit farmasi dalam kuantiti yang mencukupi sehingga tarikh janji temu yang berikutnya.
Pesakit juga harus mengambil tahu fasiliti-fasiliti kesihatan berdekatan yang tidak terlibat dengan bencana banjir sebagai alternatif untuk mendapatkan rawatan atau bekalan ubat sepanjang musim banjir.
Pesakit boleh menggunakan perkhidmatan tambah nilai unit farmasi, iaitu Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB). Perkhidmatan ini membolehkan pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti asal untuk mendapatkan bekalan ubat susulan di fasiliti kesihatan lain yang dikehendaki. Pesakit perlu maklumkan kepada unit farmasi di fasiliti asal terlebih dahulu sekiranya berminat dalam program ini. Semua pilihan ini adalah untuk memastikan pesakit sentiasa mendapat bekalan ubat yang mencukupi dan tidak mengalami masalah terputus bekalan.
PENGURUSAN UBAT SEMASA BANJIR
Sekiranya rumah pesakit dinaiki air banjir dan dikehendaki berpindah ke pusat pemindahan banjir, pesakit dinasihatkan untuk membawa kelengkapan dan rekod perubatan serta semua ubat yang dimiliki ke pusat pemindahan banjir. Tindakan ini bukan sahaja untuk mengelakkan ubat tersebut daripada rosak atau hilang ditenggelami banjir, malahan untuk memastikan pesakit tidak tertinggal dos yang perlu diambil.Walaupun berada di pusat pemindahan, ubat masih perlu diambil mengikut dos dan selang masa yang diarahkan. Pesakit tidak seharusnya menjadikan banjir sebagai alasan untuk tidak patuh kepada rawatan. Selain itu, pesakit juga diingatkan supaya tidak berkongsi atau memberikan ubat yang dimiliki kepada orang lain walaupun menghidapi gejala penyakit yang sama. Mana-mana pesakit yang tidak mempunyai ubat sendiri perlu dirujuk kepada pasukan perubatan yang bertugas.
Sepanjang musim banjir, apabila pusat pemindahan banjir dibuka, pasukan perubatan akan mula diitubuhkan untuk bertugas sama ada secara bergerak (mobile) atau secara statik. Kebiasaannya, pasukan perubatan ini akan membawa bersama kit banjir yang mengandungi peralatan perubatan dan ubat-ubatan untuk rawatan mangsa banjir. Oleh itu, pesakit yang tidak membawa ubat harus memaklumkan kepada pasukan perubatan supaya pesakit dapat diperiksa dan ubat yang sesuai boleh dipreskripsikan oleh doktor.
TINDAKAN SELEPAS BANJIR
Selepas banjir mulai surut, pesakit dinasihatkan segera mendapatkan rawatan atau bekalan ubat di klinik kesihatan atau hospital. Doktor akan memeriksa pesakit secara menyeluruh dan ubat akan diberikan berdasarkan status kesihatan semasa pesakit. Rekod perubatan dan preskripsi ubat yang hilang juga akan digantikan.
Panduan ringkas ini boleh dijadikan rujukan kepada pesakit dan keluarga untuk menghadapi banjir yang akan melanda saban tahun. Sekiranya perlukan maklumat yang lebih terperinci, pesakit boleh menghubungi fasiliti kesihatan yang berhampiran. Penyakit kronik perlu dikawal dengan baik walaupun dilanda bencana banjir. Pesakit sendiri haruslah proaktif dan sentiasa peka dalam menguruskan bekalan ubat masing-masing pada setiap masa.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, jam 8.00 pagi – 5.00 petang).
Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia