SELANGOR FATWAKAN FAHAMAN GISBH MENYELEWENG AJARAN ISLAM SEBENAR

SHAH ALAM, 18 OKT: Selangor mewartakan fahaman, ajaran atau amalan ahli GISB Holdings (GISBH) dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), fatwa itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan disiarkan dalam warta Kerajaan Negeri pada 16 Oktober 2024.

Berikutan itu, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam dilarang dan diharamkan beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar atau menyebar ajaran tersebut.

Beliau menegaskan fahaman berkenaan juga tidak boleh dikembang dan disokong, termasuk apa jua pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang diharamkan itu.

“Selaras dengan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam yang menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang diharamkan ini hendaklah segera bertaubat.

“(Mereka juga perlu) memohon keampunan kepada Allah SWT dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz turut menasihatkan umat Islam menghormati dan tidak membuat tindakan bercanggah fatwa yang diwartakan atau didakwa bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pada masa sama, beliau memberitahu MAIS bersama agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH, termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang dilaksana merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah dan kaunseling,” katanya lagi.

MAIS turut menyokong program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan kerajaan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya selaras fatwa yang diwartakan.

“MAIS dan agensi Islam lain menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Rujukan penuh fatwa yang diwartakan di pautan https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-selangor/

Sumber : Selangorkini

Artikel/Berita Terkini

BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN RM76.29 JUTA MANFAATKAN 508,631 MURID DI SABAH TAHUN INI

BANTUAN: James menyempurnakan penyerahan cek cura Bantuan Awal Persekolahan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi tahun 2026 di sini. KOTA KINABALU: …

AKTIVITI PENGUATKUASAAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Pemeriksaan Bekalan …

KERJASAMA, KESEPAKATAN ASAS KEHARMONIAN SABAH

RASMI: Joachim bersama tetamu kehormat lain bersama-sama menyempurnakan majlis itu. TELUPID: Kerajaan negeri akan terus komited menyokong penganjuran dan sambutan …