Dengan kepantasan jaringan jalur lebar dan internet hari ini, pelbagai maklumat seperti berita terkini dalam dan luar negara, perniagaan, pelancongan, penyelidikan, kes jenayah, pendidikan, sukan, politik terkini, teknologi, maklumat bencana dan cuaca termasuk kemudahan membeli belah atas talian tersedia di hujung jari. Ini juga membolehkan pengguna berkongsi maklumat serta mampu berinteraksi dengan orang lain di seluruh dunia walau di mana jua lokasi mereka berada.
Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan sejumlah 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit pada tahun 2023. Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia kekal tinggi pada kadar 97.7 peratus. Aktiviti penggunaan Internet yang paling popular pada tahun 2023 adalah menyertai rangkaian sosial iaitu 99.4 peratus, diikuti oleh aktiviti memuat turun gambar, filem, video atau muzik; bermain atau memuat turun permainan (93.9 peratus) dan mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (92.8 peratus).
Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub juga telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average screen time) untuk suku pertama 2024. Senarai tersebut meletakkan Malaysia sebagai negara kelapan tertinggi dan secara purata rakyat negara ini meluangkan masa sebanyak 8 jam 17 minit sehari di hadapan skrin. Menurut laporan tersebut, rakyat Malaysia secara purata meluangkan sekitar 48.41% daripada waktu sedar (awake hours) di hadapan skrin telefon pintar, komputer, televisyen dan lain-lain peranti. Ini juga meletakkan Malaysia sebagai negara kedua dalam Asia yang paling banyak meluangkan masa di hadapan skrin, selepas Filipina yang mencatatkan 8 jam 52 minit atau 52.28% daripada waktu sedar. Electronics Hub juga menjejak jumlah tontonan video pendek TikTok dalam semua negara dan mendapati rakyat Malaysia menonton sekitar 121 video TikTok sehari, menjadikannya Malaysia negara ke-10 dalam senarai negara yang paling banyak menonton video dalam platform media sosial tersebut.
Kemajuan teknologi yang wujud hari ini dilihat sudah menjadikan internet, aplikasi mudah alih dan media sosial bukan lagi satu keperluan malah telah menjadi satu kemestian bagi setiap individu. Namun apa yang membimbangkan adalah kemudahan ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak berkepentingan dan menjadi penyebab utama kepada kewujudan lambakan bahan-bahan pornografi. Selain itu, ianya juga telah menjadi ‘port’ penghasilan dan sumber pendapatan lumayan bagi pencipta-pencipta kandungan media sosial. Jumlah follower dan viewer yang tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan memberikan pelbagai peluang perniagaan bagi content creator. Bagi pencipta kandungan bahan pornografi, ianya merupakan peluang dan ruang tanpa sempadan untuk mereka menghasilkan wang tanpa memikirkan moraliti dan impak kepada masyarakat.
Kesan negatif yang signifikan dilihat menjejaskan nilai-nilai dalam masyarakat terutama sekali kepada golongan belia dan kanak kanak.
- Pertama: paparan berterusan terhadap bahan pornografi boleh menyebabkan kecenderungan normalisasi tingkah laku seksual yang tidak sihat. Bagi individu yang ketagih kepada bahan pornografi ini akan mengambil jalan mudah untuk melampiaskan nafsu mereka melalui cara yang salah.
- Kedua: ketagihan kepada kandungan pornografi akan membentuk pandangan, tanggapan dan jangkaan yang tidak realistik tentang seks dan hubungan sihat yang seterusnya mempengaruhi perkembangan psikologi dan sosial golongan belia dan kanak-kanak. Pengaruh negatif ini juga dilihat akan mencetuskan masalah sosial yang lebih serius dalam masyarakat seperti pergaulan seks bebas, jenayah rogol dan cabul. Perasaan ingin mencuba dengan adanya peluang yang mudah menyebabkan banyak berlaku kejadian rogol rakan sebaya, pesta seks liar, malah amat mengejutkan wujudnya laman web yang menyediakan platform untuk aktiviti bertukar-tukar pasangan.
- Ketiga: Pendedahan atau ketagihan bahan pornografi berterusan tanpa kawalan boleh merosakkan nilai-nilai moral, adab dan etika masyarakat setempat. Sesuatu yang tidak normal jika didedahkan secara berterusan akan menyebabkan ianya menjadi normalisasi dan budaya dalam masyarakat. Di zaman dunia tanpa sempadan, penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa. Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi samada di rumah sendiri atau sesetengah premis dimana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri. Jika tidak segera dibendung, ini akan mengundang kepada pelbagai masalah sosial yang lebih teruk dalam jangka panjang.
- Keempat: Akses mudah kepada bahan pornografi ini boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti ketagihan, kecemasan, hilang tumpuan dan depresi, terutamanya dalam kalangan individu yang lebih muda. Ianya juga secara tidak langsung memberi kesan dan boleh menjejaskan hubungan interpersonal dan seterusnya boleh menjejaskan hubungan dalam rumahtangga bagi mereka yang berkahwin.
Semua pihak perlu bekerjasama memainkan peranan dalam melindungi remaja dan kanak kanak dari terlibat didalam aktiviti seksual berisiko sebelum berkahwin selain membuat kawalan terhadap penggunaan internet bermula dari rumah. Disini, keperluan menerapkan minda keselamatan dalam kalangan masyarakat mengenai kesedaran risiko serta bahaya ketagihan bahan pornografi ini dan pengamalan budaya keselamatan amat penting bagi mewujudkan persekitaran kesejahteraan holistik serta kehidupan masyarakat yang sihat.
Perkara pertama yang ibu bapa perlu lakukan adalah didikan agama perlu diterapkan dalam setiap diri anak-anak sebagai panduan serta memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah. Dipihak sekolah pula, guru boleh memainkan peranan dalam mengintegrasikan topik berkaitan bahaya pornografi dengan memberikan pengetahuan tentang kesan negatifnya terhadap mental, emosi serta nilai-nilai moral dalam masyarakat. Selain memainkan peranan proaktif dengan menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti luar kelas seperti sukan atau kelab yang boleh mengalihkan perhatian mereka dari bahan pornografi.
Tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat oleh pihak kerajaan terhadap penyebaran bahan pornografi, termasuk penalti untuk mereka yang terlibat dalam pengedaran dan pemilikan bahan tersebut serta mewujudkan sistem penapisan internet lebih baik bagi menghalang akses kepada laman web pornografi, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja dilihat mampu mengekang isu ini. Para pemimpin masyarakat boleh mengambil inisiatif untuk mengadakan ceramah, bengkel, dan seminar bagi meningkatkan kesedaran tentang ketagihan bahan pornografi dan bahayanya kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penerapan minda keselamatan dapat memupuk rasa tanggungjawab dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan peranan dan tanggungjawab mereka dalam bersama-sama mengelakkan isu ini menjadi semakin parah. Tindakan secara kolektif dan proaktif dari pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, ibu bapa dan keluarga, sekolah, komuniti setempat, pemimpin-pemimpin agama dan setiap lapisan anggota masyarakat mampu membendung perkara ini dari terus menjadi virus menular dalam masyarakat.
Disediakan oleh: Mimi Suriati