“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah Al-Ma’idah, 5:3)
Sesungguhnya, kita telah diingatkan bahawa Allah telah menyempurnakan agama Islam sebagai panduan hidup bagi umat manusia dengan segala aturan dan ajarannya mencakupi aspek kehidupan dunia dan akhirat. Islam dijadikan jalan yang jelas bagi umat manusia untuk mencapai kesejahteraan dan keredhaanNya.
Agama itu adalah panduan hidup. Ia memberikan kita nilai, arah dan tujuan. Namun, kadang-kadang, ada antara kita ini yang terlalu taasub dalam beragama sehingga membuatkan ia lupa bahawa agama itu sendiri menekankan keseimbangan, kesederhanaan dan belas kasihan. Apabila kita terlalu fokus kepada satu aspek sahaja, kita mungkin terlepas pandang tentang nilai-nilai lain yang sama pentingnya.
Tapi, kenapa taasub ini boleh menjadi bahaya? Apabila kita terlalu taasub, kita hilang keseimbangan dan pertimbangan dalam hidup. Kita akan mengabaikan hal yang lain dan hanya menyerahkan segala fokus kepada hal yang kita percaya semata-mata. Kita menjadi lupa untuk belajar menerima perbezaan. Malah amat malang pula, kita mula membandingkan diri dengan orang lain sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati. Rasa taasub itu mampu menjadikan seseorang bertindak di luar kawalan dan mencetuskan bahaya yang tidak pernah diundang. Malah akhirnya, ketaasuban itu merosakkan perhubungan. Keluarga yang berpecah belah, saudara yang ditinggalkan sehingga ada pula yang malu mengaku saudara sehingga bertahun-tahun lamanya.
Sesungguhnya ketaasuban itu mampu dileraikan. Hanyasanya dengan kesungguhan setiap pihak untukΒ mengubahnya. Bermula dari individu yang mahu mencari jalan pulang, disokong pula oleh masyarakat sekeliling yang bersedia menerima dan seterusnya dibantu oleh sistem yang dibina untuk melentur manusia menjadi insan sempurna. Dengan sikap tenang, bersederhana, berlembut dan bijaksana, akan mampu membuka hati manusia yang ingin kembali kepada Tuhan dan ajaran yang sama.
Usaha kembali ini tidak akan tercapai sekelip mata. Yang penting adalah doa dan usaha serta keyakinan dan istiqamah dalam perancangan. Benarlah, ada cahaya di hujung jalan.
Disediakan oleh: Mior Ahmad Shah