KERAJAAN TERUS HARGAI SOKONGAN PERSATUAN, DEWAN PERNIAGAAN TIONGHUA

JAWATANKUASA: Phoong (kanan) bersalaman dengan Presiden SUCCC Datuk Michael Lui (kiri) sempena Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa SUCCC bagi tempoh 2024-2027.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri amat menghargai sokongan berterusan daripada semua persatuan dan dewan perniagaan masyarakat Tionghua di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, dengan sokongan padu yang berterusan daripada semua pihak termasuk dewan-dewan perniagaan, kerajaan negeri kini berada di landasan yang betul dalam membawa pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kesediaan masyarakat Tionghua termasuk Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah (SUCCC) yang terus berdiri bersama-sama kerajaan bagi membantu dalam setiap sektor pembangunan di negeri ini amat kita hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa SUCCC bagi tempoh 2024-2027 di sini pada Isnin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata, Sabah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, rekod pendapatan Sabah sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu menjadikan Sabah antara enam negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2023.

Katanya, banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada belia Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing, sehingga Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) penuh.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sudah mengenal pasti taman perindustrian baharu bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian di negeri ini, iaitu di Kudat.

“Pembukaan lebih banyak taman perindustrian sudah pasti nilai pelaburan dijangka terus meningkat pada tahun mendatang kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing menunjukkan minat untuk melabur di Sabah.

“Justeru, saya mahu masyarakat Tionghua di negeri ini terus bersama-sama kerajaan memajukan negeri ini, kerana ramai dalam kalangan mereka terbukti pandai dan pintar dalam urusan perniagaan,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Di sinilah peranan daripada masyarakat Tionghua untuk turut sama mengambil peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini.

“Saya berharap, SUCCC terus menyokong dan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan hala tuju SMJ demi kemajuan dan kemakmuran kepada keseluruhan lapisan rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, SUCCC memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan komuniti perniagaan, menyebarkan polisi dan maklumat yang berkaitan dengan perdagangan dan industri di samping menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.

Dalam pada itu, beliau optimis SUCCC yang mempunyai 25 ahli Dewan Perniagaan Cina di seluruh Sabah dan Labuan akan menjadi sumber yang sungguh bermakna kepada kerajaan untuk mengeratkan lagi perhubungan rapat dengan komuniti perniagaan Cina di Sabah.

Hajiji percaya, SUCCC di bawah pimpinan Datuk Michael Lui sebagai presiden akan terus memberi pendapat, pandangan dan cadangan daripada komuniti perniagaan Cina Sabah mengenai isu pembangunan sosio-ekonomi tempatan, selain bagaimana meningkatkan persefahaman dan kerjasama dengan kerajaan, untuk membangunkan ekonomi Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

 

#MalaysiaMadani
#taatseti
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

JURUTERBANG RUGI HAMPIR RM200,000 TERPEDAYA PAKEJ HAJI PALSU

Seorang juruterbang wanita di sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pakej haji yang tidak wujud …
Maklumat Lanjut

STPM 2024: NEGERI SEMBILAN LEPASI PNGK KEBANGSAAN BUAT PERTAMA KALI

Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali melepasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan iaitu 2.85 bagi peperiksaan …
Maklumat Lanjut

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut