Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengesan sebanyak 22 lokasi kepala air membabitkan kawasan seperti lata, air terjun dan sungai di lima daerah di negeri ini. Pengarahnya, Hassan ‘As’ari Omar berkata, lima daerah terbabit adalah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
22 lokasi itu membabitkan empat di Besut iaitu Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark. Setiu pula membabitkan Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung, Hulu Terengganu (lima) iaitu Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Saok, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit.
Dungun terdapat enam lokasi risiko berlaku kepala air iaitu Air Terjun Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Lubuk Kain dan Air Terjun Chemerong. Manakala empat lokasi di Kemaman ialah di Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Putih dan Sungai Cherul,” katanya.
Terdapat empat petanda awal kepala air iaitu bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air berbuih serta membawa sampah sarap dan ranting pokok selain peningkatan paras air secara mendadak.
Sepanjang Januari lalu hingga kini, JBPM Terengganu menerima sebanyak 103 kes berkaitan pokok tumbang dan banjir. Pihak bomba sentiasa bersedia dengan peralihan Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat dan angin kencang sekali gus berpotensi berlaku bencana seperti banjir kilat serta pokok tumbang.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan perubahan iklim yang boleh mengakibatkan berlakunya kepala air, pokok tumbang dan bencana lain.
Sumber: Bomba Terengganu