Telinga kerap berdesing atau berdengung kerap terjadi apabila berada di tempat beraltitud tinggi, sudah pasti ramai yang akan tertanya kenapa telinga berdesing bukan? Tidak kurang juga ramai yang akan mengaitkan punca telinga berdengung dengan jangkitan pada dalam telinga dan ia memang tepat! Namun sebenarnya terdapat banyak lagi sebab kenapa telinga berdengung.
Setiap orang mesti akan pernah mengalami keadaan kesihatan ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka. Keadaan ini yang lebih dikenali sebagai tinnitus ini pada dasarnya bukanlah merupakan simptom penyakit yang berbahaya.
Ini kerana ia biasa terjadi untuk tempoh masa yang sekejap sahaja dan boleh pulih dengan sendirinya seiring perjalanan waktu. Namun ada juga punca kenapa telinga berdengung yang berbahaya dan memerlukan perhatian lebih khusus termasuklah:
- Jangkitan dalam telinga
Jangkitan yang dinamakan sebagai โotitis mediaโ ini mungkin boleh menyebabkan telinga berdesing namun ia adalah sangat jarang berlaku. Disebabkan oleh kuman, jangkitan ini juga akan menyebabkan telinga tersumbat serta gegendang telinga pecah yang memerlukan rawatan lanjutan.
- Terdedah kepada bunyi kuat
Ini selalu terjadi khususnya buat mereka yang sering menggunakan earphone atau headphone dengan kelantangan yang kuat dan lama. Selain itu, mereka yang bekerja dalam sektor buruh juga berisiko terdedah kepada bunyi kuat berterusan atau berpanjangan pada telinga.Punca kenapa telinga berdesing
- Presbycusis
Ia adalah istilah perubatan untuk menerangkan kehilangan pendengaran frekuensi tinggi yang sering dialami oleh orang tua. Gejala yang turut melibatkan telinga berdengung ini berlaku disebabkan oleh gegendang telinga yang terjejas akibat penuaan.
- Kecederaan pada kepala atau tengkuk
Untuk pengetahuan anda, struktur dalaman telinga sangat sensitif pada perubahan drastik posisi kepala mahupun tengkuk. Sekiranya kepala atau tengkuk terhentak atau tercedera, sistem pendengaran juga mungkin boleh terjejas lantas menyebabkan tinnitus.
- Kesan ubatan tertentu
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh jadi punca telinga berdengung antaranya gentamicin, aspirin dan anti malaria. Disebabkan itu, anda perlu dapatkan preskripsi doktor terlebih dahulu sekiranya kena mengambil ubatan seperti yang dinyatakan di atas.
- Ketumbuhan
Ada ketumbuhan bernama Schwannoma Vestibular yang berasal dan terbentuk pada bahagian urat saraf telinga vestibular. Ketumbuhan ini seterusnya akan menyebabkan gejala seperti tinnitus, pening kepala, kebas muka, badan tidak seimbang dan pekak.
- Masalah pada salur darah
Aliran darah yang tidak selari di dalam salur darah arteri atau vena berdekatan dengan telinga boleh menyebabkan telinga menjadi berdesing. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi lebih teruk lantas mengakibatkan strok (angin ahmar).
- Tahi telinga mengeras lalu tersumbat
Akhir sekali, masalah ini mungkin hanya berpunca daripada tahi telinga yang mengeras lalu tersumbat dalam telinga. Oleh itu, anda perlu lebih kerap membersihkan telinga dengan cara yang betul agar ia tidak terlalu keras dan banyak lalu tersumbat.
Sumber: www.hellodoktor.com