Bukan saja logo GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan perkataan Ikhwan pada sebuah restoran milik mereka di Seremban 2 di sini telah dibuka, malah pemiliknya turut menampal laporan polis pada premis berkenaan. Menerusi laporan polis berkenaan, pemiliknya menyatakan laporan itu dibuat selepas pemilik sebuah akaun Facebook mendakwa setiap premis menggunakan perkataan Ikhwan telah menggunakan air berkat untuk menarik pelanggan.
Jelasnya, kedai-kedai Ikhwan adalah berlainan pemiliknya dan restoran mereka tiada kaitan dengan syarikat yang didakwa. Disebabkan kedainya menggunakan perkataan Ikhwan, sedikit sebanyak telah mendatangkan kesan terhadap perniagaannya.Ini kerana masyarakat beranggapan semua kedai bernama Ikhwan adalah sama dan dengan ini dia ingin menafikan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kedai miliknya.
Terdapat empat salinan laporan polis yang ditampal pada pintu restoran berkenaan. Bagaimanapun premis itu difahamkan telah ditutup sejak minggu lalu. Antara aktiviti perniagaan lain dijalankan di situ ialah kedai runcit, kedai cendol, bakeri dan warung menjual kuih.
Sumber: Sinar Harian