PERMOHONAN: Aniza bersama peniaga Mykiosk Sedco di Pekan Kota Marudu menunjukkan surat permohonan kepada MDKM.
KOTA MARUDU: Peniaga di 10 buah Mykiosk Sedco di Pekan Kota Marudu di sini memohon agar Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) mempertimbangkan untuk membenarkan pembayaran deposit dilakukan secara ansuran.
Wakil peniaga, Aniza Aning berkata, kesemua 10 peniaga baharu menjalankan operasi pada Mei lalu dan belum mampu membayar wang deposit selama tiga bulan sepertimana yang diarahkan bahagian pengurusan Mykiosk MDKM.
“Kami menerima kunci kiosk pada Mei lalu dan semasa sesi penyerahan kunci itu, pihak MDKM tidak memaklumkan sebarang arahan atau status pembayaran deposit Mykiosk sehinggalah kami diarahkan untuk membayar deposit selama tiga bulan pada minggu ini.
“Tempoh perniagaan yang terlalu singkat tambahan pula jumlah pendapatan yang tidak menentu disebabkan perpindahan kami ke kawasan baharu tidak membolehkan kami membayar deposit pada jumlah tinggi mencecah RM450.
“Pada masa sama kami juga dikehendaki membayar sewa bulanan sebanyak RM150, RM50 bagi kos tandatangan perjanjian daftar kemasukan kiosk serta RM60 untuk lesen perniagaan dengan menjumlahkan RM710 jumlah keseluruhan yang perlu dibayar,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar peniaga di kiosk terbabit tidak mempunyai pendapatan tinggi selain masing-masing ada tanggungan dan bayaran yang perlu dijelaskan pada Oktober ini sangat membebankan mereka.
“Objektif utama Mykiosk adalah untuk menambah pendapatan dan bukannya dibebankan dengan deposit ini, pada masa sama kamu tidak pernah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai status bayaran deposit Mykiosk.
“Selepas berpindah dari kawasan lama selama beberapa bulan kawasan Mykiosk kami masih belum menjadi tumpuan orang ramai menyebabkan pendapatan harian yang kami peroleh sangat rendah dan tidak menentu.
“Kawasan Mykiosk juga panas dan ketika hujan barang-barang jualan kami dibasahi hujan menyebabkan barang jualan menjadi rosak, oleh itu saya harapkan agar pihak MDKM mempertimbangkan dan menerima permohonan kami agar deposit terbabit dibayar secara ansuran,” katanya.
Tambahnya, bayaran yang mampu dilakukan adalah hanya RM100 sebulan bermula Oktober sehingga Januari tahun hadapan.
“Saya harapkan agar permohonan ini diterima bagi mengelakkan Mykiosk diambil semula oleh pihak MDKM kerana ini adalah sumber pendapatan kami bagi meningkatkan pendapatan agar keluar dari garis kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata, satu surat permohonan turut disampaikam kepada Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda untuk memberikan sokongan kepada peniaga kecil di kawasan Mykiosk Sedco di Pekan Kota Marudu.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online