PERSATUAN KEBUDAYAAN BERPERANAN PENTING PERKUKUH PERPADUAN

TIBA: Bung Moktar disambut mesra pada majlis perasmian Program diiring Irau Rayeh Lundayeh Sabah.

SIPITANG: Persatuan Kebudayaan kaum memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan perpaduan di negara ini.

Ketua UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kesepaduan nasional adalah inti kekuatan dan keamanan negara yang dapat dicapai melalui ikatan perpaduan antara seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, formula perpaduan bagi negara dengan masyarakat majmuk seperti Malaysia terletak pada kesatuan rakyat berbilang kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu hidup saling memahami, bertoleransi, menerima perbezaan satu sama lain, memahami kontrak sosial yang menjadi dasar kesepaduan rakyat Malaysia serta menghormati hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Peristiwa 13 Mei 1969, merupakan titik hitam kepada sejarah negara. Namun begitu, ia boleh memberi iktibar kepada rakyat dan pemain politik betapa penting keharmonian kaum perlu terus dipelihara dan dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Program Irau Rayeh Lundayeh Sabah kali ke-16 di sini semalam.

Bung Moktar berkata, isu-isu yang menyentuh sensitiviti ras, etnik, agama, kepercayaan dan budaya perlu dielakkan agar tahap keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini berkekalan.

“Kita bimbang akhir-akhir ini tersebar luas tanpa kawalan di media sosial yang mencetuskan isu-isu perkauman termasuk beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa individu pemimpin politik berbaur sentimen kenegerian yang boleh menjejaskan   integrasi nasional antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Keharmonian negara mesti dikekalkan dengan melibatkan peranan semua pihak termasuklah persatuan-persatuan kebudayaan kaum,” jelasnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah ini turut memuji usaha yang dilakukan oleh Persatuan Lundayeh Sabah di bawah kepimpinan presidennya Datuk Pengiran Lalung atas kesungguhan persatuan itu menganjurkan program.

Katanya, ia bukan sahaja menjadi platfrom untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan suku kaum Lundayeh namun melibatkan suku kaum lain.

“Saya berharap program ini akan menjadi program berterusan yang bukan sahaja sebagai wadah memperkukuhkan perpaduan kaum, namun pada masa sama, ia dapat mempromosikan kebudayaan, adat resam, makanan  tradisi  dan kraf tangan masyarakat Lundayeh kepada masyarakat luar khususnya pelancong asing,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …